Program latihan bersama S’pura, Brunei berakhir

Program latihan bersama S’pura, Brunei berakhir

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan pegawai kerajaan melalui Program Pertukaran Latihan Bersama (Joint Trianing Exchange Programme) bagi pegawai-pegawai kanan ke-2 baru-baru ini.

Ia diungkayahkan bersama oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura.

JPM dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam, menyatakan majlis penutup program itu berlangsung semalam di JPM, dihadiri tetamu kehormat Timbalan Menteri (Keselamatan dan Media) di JPM, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar. Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di JPM, Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos selaku wakil peribadi Dato Paduka Haji Hamdan telah menyampaikan sijil-sijil pencapaian kepada semua delegasi.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Tetap KHEDN Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dan Timbalan Setiausaha Tetap KHEDN Republik Singapura T.Raja Kumar. Ketua delegasi kedua-dua negara juga telah mengongsikan pengalaman dan pencapaian yang diperolehi semasa mengikuti program ini.

Seramai 17 pegawai menyertai program itu yang sebahagiannya diadakan di Republik Singapura dan sebahagian lagi di sini.

Gambar ramai pegawai-pegawai kanan dari Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.
Gambar ramai pegawai-pegawai kanan dari Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Di sepanjang program ini, para peserta akan berpeluang membuat lawatan ke agensi-agensi berkenaan bagi memahami lebih dekat fungsi dan tugas setiap jabatan dan mengeratkan lagi kerjasama dan silaturahim di antara kedua-dua negara serta berkongsi pengalaman, amalan terbaik dan bertukar-tukar idea.

Program tersebut dihasratkan dapat memupuk kerjasama yang lebih erat dan para peserta program diharap akan lebih bersedia dengan pengetahuan dan kefahaman mengenai isu-isu di kedua-dua negara, termasuk mewujudkan rangkaian dengan agensi-agensi dari Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura dan membangunkan kemahiran kepimpinan.

Turut hadir di majlis tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap di JPM dan timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di JPM dan KHEDN.

ARTIKEL YANG SAMA