Program memperkasa guru, kakitangan sekolah

Oleh Imelda Groves HA

 

TUTONG, 11 Okt – Sekolah Rendah Binturan, kelmarin, telah menganjurkan program perkembangan profesional untuk guru-guru dan kakitangan sekolah berkenaan yang diadakan di Bilik Matematik sekolah tersebut.

Majlis menjemput penceramah jemputan dari Malaysia iaitu Sulaiman Syah bin Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Che Man yang merupakan penceramah motivasi matematik dari Syarikat Ilmas Training & Tutorial di Serusop.

Memandangkan peperiksaan akhir tahun semakin hampir, pihak sekolah mengambil peluang dan inisiatif menjemput Che Man bagi berkongsi ‘Modul Gula-Gula Sifir.’

Modul berkenaan telah dibukukan dan diedarkan ke seluruh sekolah rendah di Brunei Darussalam. Kementerian Pendidikan menyediakan dua buah buku ‘Gula-Gula Sifir’ sebagai rujukan di perpustakaan setiap sekolah rendah

“Secara tradisional, kita menghafal 144 sifir bermula dengan sifir 1 sehingga sifir 12.

Gambar ramai peserta bersama Che Man.

“Guru dan ibu bapa akan cuba sehabis baik bagi memastikan anak mereka menguasai sifir. Sifir kunci matematik. Jika anak murid tidak menguasai sifir, mereka akan menghadapi masalah besar dalam menjawab soalan matematik kelak,” jelas Che Man.

Beliau menerangkan, ‘Modul Gula-Gula Sifir’ ini dibahagikan kepada dua teknik iaitu menghafal dan menguasai formula.

Bahagian pertama iaitu teknik menghafal, pelajar hanya perlu menghafal 33 sifir sahaja dengan bersistem dan mudah manakala teknik kedua sangat menarik.

Che Man kongsikan beberapa formula yang seronok dan senang iaitu ‘Nombor Power’, ‘Formula Hujan’ dan ‘Pokok.’

Formula-formula ini memudahkan anak murid berimaginasi menjawab soalan yang melibatkan pengiraan sifir. Di samping itu, Che Man menyelitkan karakter kartun bagi menarik minat anak murid untuk belajar dan menguasai sifir, jelasnya lagi.

Beliau berharap, semoga ilmu yang dikongsikan dapat memberi manfaat pada guru-guru dan kakitangan sekolah dan seterusnya memberi kesan yang baik kepada anak-anak murid nanti.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada penceramah jemputan yang disempurnakan oleh Dayang Siti Nazirah binti Maaruf, wakil guru besar Sekolah Rendah Binturan.