Program MENTEROH corak keperibadian belia

Program MENTEROH corak keperibadian belia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – Semua pihak harus memikul tanggungjawab yang berat dalam membentuk pelajar untuk menjadi generasi pelapis akan datang, oleh itu, amat penting bagi semua pihak untuk tidak berputus asa dan sentiasa berusaha ke arah mendidik mereka demi kebaikan anak bangsa yang tercinta.

“Kejayaan membentuk mereka menjadi orang yang berguna sekali gus menjadi generasi akan datang yang cemerlang merupakan kebanggaan kita semua,” kata Pemangku Pegawai Pelajaran Kanan, Unit Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Rosimah binti Haji Ibrahim semasa Program Perkampungan Mental, Tenaga dan Rohani (MENTEROH) Sekolah-sekolah Menengah Kluster 3, hari ini.

Setiap individu mempunyai potensi dan berperanan dalam mencorakkan keperibadian serta hasil kerja yang hendak dicapai, di mana jika tidak berusaha dengan gigih maka keputusan atau hasil yang diharap-harapkan juga tidak akan membuahkan kecemerlangan, tambahnya lagi, pada majlis yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Lambak Kiri.

Dalam hubungan itu, Hajah Rosimah berkata, setiap individu mempunyai peranan dan potensi yang perlu diutamakan untuk mengubah nasib bukan hanya kepada diri sendiri tetapi juga terhadap bangsa, agama dan negara.

Para pelajar membersihkan kawasan masjid sebagai sebahagian daripada kegiatan Program MENTEROH.
Para pelajar membersihkan kawasan masjid sebagai sebahagian daripada kegiatan Program MENTEROH.
Hajah Rosimah bergambar ramai dengan para pelajar dan guru-guru pengawas yang menyertai program berkenaan.
Hajah Rosimah bergambar ramai dengan para pelajar dan guru-guru pengawas yang menyertai program berkenaan.

“Para pelajar perlu menerapkan nilai-nilai yang positif sesuai dengan ideologi negara Melayu Islam Beraja. Oleh itu, dengan adanya program perkampungan MENTEROH ini nanti diharap akan dapat menyuntik semangat para pelajar untuk berubah ke arah kebaikan dan kecemerlangan dunia dan akhirat.”

Hajah Rosimah berharap para pelajar akan dapat memberikan perhatian dan tumpuan mereka kepada pelajaran mereka kerana dengan adanya pelajaran dan pengetahuan yang diperoleh di sekolah itu, akan dapat memenuhi kehendak ibu bapa, guru-guru dan diri mereka sendiri dalam mencapai kejayaan yang diimpikan.

“Tinggalkan perkara-perkara yang kurang penting dan tidak bermanfaat kepada diri kamu sebagai seorang pelajar seperti Internet, telefon bimbit, lepak dan sebagainya agar kamu tidak menyesal di kemudian hari.”

Program sehari itu, disertai oleh seramai 60 orang pelajar dari sekolah-sekolah menengah kluster 3 di mana mereka diberikan bimbingan untuk mengenali dan meningkatkan kesedaran mereka akan pentingnya pengukuhan diri daripada segi mental, rohani dan jasmani dalam menempuhi kehidupan yang penuh dengan pelbagai cabaran.

ARTIKEL YANG SAMA