Program Mudik Mesra Belia cabar ketahanan belia

Program Mudik Mesra Belia cabar ketahanan belia

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 6 Dis – Lebih 40 orang belia telah menyertai Program Mudik Mesra Belia yang berlangsung selama tiga hari, berakhir hari ini, di Kampung Belabau, Mukim Rambai, Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup program pagi tadi ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam. Turut hadir ialah penghulu Mukim Rambai, ketua-ketua kampung di Mukim Rambai, pegawai dan kakitangan dari agensi-agensi kerajaan Daerah Tutong, ahli-ahli MPM Rambai dan penduduk Kampung Belabau.

Majlis dimulakan dengan beberapa persembahan oleh para peserta dan diikuti dengan tayangan video aktiviti yang dijalankan sepanjang program tiga hari dua malam di kampung berkenaan.

Pada majlis itu, tetamu kehormat turut menyampaikan hadiah kepada peserta belia dan beliawanis terbaik yang disandang oleh Awang Mahmud bin Metassan, 20, dan Dayang Nurin Jazlina binti Zakaria, 19.

Tetamu Kehormat ketika menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta.
Tetamu Kehormat ketika menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama para peserta dan pihak penganjur.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama para peserta dan pihak penganjur.

Ketika ditemu bual media, kedua-dua mereka memberitahu, program yang diikuti ini adalah sangat mencabar kerana peserta-peserta berada jauh dari bandar dan sepanjang berada di pedalaman, mereka hanya berbekalkan air dari sungai untuk mandi dan tidur dalam keadaan berpanas iaitu tidak menggunakan kipas.

Awang Mahmud yang berasal di Kampung Mumong, Kuala Belait mengongsikan, pengalaman daripada program ini mengajar beliau mengenai cara hidup orang pedalaman sesuai dengan tujuan program ini diadakan iaitu untuk menjadi ke arah yang lebih baik dengan melakukan kerja-kerja amal di tempat pedalaman.

Dalam program ini juga, mereka dididik untuk menjadi seorang yang lebih berdikari dan menasihati para belia lain agar perlu menghargai kehidupan bahawa hidup pada masa ini lebih mudah berbanding hidup di pedalaman yang tidak banyak menggunakan teknologi masa ini.

Program ini merupakan salah satu aktiviti Majlis Perundingan Mukim (MPM) Rambai dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong yang dikelolakan bersama Jawatankuasa MPM Rambai dan Kumpulan Al-Hijrah bersempena cuti persekolahan untuk mengisi masa lapang dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Antara objektif program adalah untuk melengkapkan belia dengan sakhsiah ‘Belia Cemerlang’ yang beriman, berilmu dan bertanggungjawab serta cekal dalam meningkatkan kebolehan dan kemahiran.

Sasaran peserta ialah belia dan beliawanis yang berumur di antara 16 hingga 26 tahun dari keempat-empat daerah.

Beberapa aktiviti telah pun dijalankan menjurus kepada ketahanan mental dan fizikal, kemasyarakatan, dan kerohanian seperti mengikuti aktiviti kuliah Maghrib, Subuh, Tilawah, Senamrobik, Qiamulail (solat Tahajud), solat Sunat Dhuha dan aktiviti berkumpulan.

Dengan adanya pengisian aktiviti tersebut, para belia akan mendapat pengalaman dan pendedahan terhadap nuansa Islam dalam aspek persekitaran dan pergaulan yang boleh mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah di antara peserta dengan masyarakat kampung.

ARTIKEL YANG SAMA