Program Muziumku, Warisanku dekati pelajar Maktab Sains

Program Muziumku, Warisanku dekati pelajar Maktab Sains

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Dalam usaha untuk mendekati dan menyebarluaskan kepada orang ramai mengenai muzium-muzium dan galeri yang terdapat di bawah Jabatan Muzium-muzium, jabatan itu telah mengadakan Taklimat Muziumku, Warisanku di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, hari ini.

Taklimat yang dihadiri oleh pelajar-pelajar Tahun 9 sekolah berkenaan merupakan salah satu aktiviti bagi mereka yang telah tamat menduduki peperiksaan dan memberikan peluang kepada mereka untuk mengenal lebih dekat mengenai muzium-muzium yang terdapat di bawah Jabatan Muzium-Muzium seperti Muzium Brunei, Muzium Teknologi Melayu, Bangunan Alat Kebesaran Diraja, Taman Warisan Tasek Merimbun, Galeri Seni, Muzium Maritim Brunei Darussalam dan Arkib Negara Brunei Darussalam.

Pegawai Perkhidmatan Pelajaran jabatan itu, Haji Mahrin bin Haji Abas dalam taklimatnya menyatakan hasrat untuk mengambil langkah positif dalam menyebarkan dan menyampaikan maklumat mengenai kepentingan menjaga khazanah warisan negara dalam kalangan sekolah-sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

Para pelajar tidak melepaskan peluang untuk mencuba sendiri permainan tradisional masyarakat Brunei selepas sesi taklimat itu.
Para pelajar tidak melepaskan peluang untuk mencuba sendiri permainan tradisional masyarakat Brunei selepas sesi taklimat itu.

Selepas sesi taklimat para pelajar juga berpeluang mengambil bahagian dalam beberapa jenis permainan tradisional masyarakat Brunei termasuk Pasang.

Program seperti ini bukan saja disalurkan ke sekolah-sekolah rendah dan menengah seluruh negara, namun ia juga akan disasarkan ke peringkat mukim dan kampung sebagai kerja serta usaha sama antara jabatan itu dan majlis perundingan kampung (MPK) serta persatuan-persatuan.

Program dengan objektifnya untuk memartabatkan warisan negara itu, diharap mendapat sambutan khususnya dalam kalangan guru dan pelajar.

Sehubungan itu, mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program pendekatan berkenaan, mereka boleh menghubungi Jabatan Muzium-Muzium melalui e-mel, info@muzium.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA