Program Muziumku-Warisanku di SMPW

Program Muziumku-Warisanku di SMPW

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 16 Nov – Dengan hasrat untuk memartabatkan lagi permainan-permainan tradisi Brunei, Jabatan Muzium-muzium telah meneruskan lagi Program Muziumku-Warisanku di Sekolah Menengah Perdana Wazir (SMPW), di sini, hari ini.

Bahagian Perkhidmatan Pelajaran, Jabatan Muzium-muzium melalui undangan Sekolah Menengah Perdana Wazir yang menganjurkan Minggu Aktiviti Kokurikulum (CCA) selama tiga hari bermula hari ini, telah menunjukkan dua jenis permainan tradisi seperti Pasang, Congkak, Salok-Salokan, Bua Lepas selain menunjuk cara permainan tradisi Kayu Tiga yang diadakan di kawasan luar sekolah.

Selain tunjuk cara permainan tradisi, pameran dan jualan buku terbitan jabatan berkenaan turut diadakan dalam program berkenaan yang akan diteruskan lagi di Daerah Tutong pada 19 November manakala di Daerah Brunei Muara pada 23 November ini.

Para pelajar ditunjukkan cara permainan Pasang, melalui aktiviti CCA di Sekolah Menengah Perdana Wazir.
Para pelajar ditunjukkan cara permainan Pasang, melalui aktiviti CCA di Sekolah Menengah Perdana Wazir.

Menerusi Minggu CCA tersebut, SMPW turut mengundang Jabatan Pusat Sejarah Brunei untuk membuat demonstrasi, pameran dan juga jualan buku.

CCA diadakan antara lain bertujuan untuk memberikan pendedahan dan informasi mengenai penemuan kajian sejarah serta budaya di Negara Brunei Darussalam di samping memperkenalkan permainan tradisi di negara ini.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menambahkan pengetahuan dan pengalaman kalangan pelajar sekolah itu, memupuk semangat mengenali sejarah dan budaya serta tradisi negara sendiri.

ARTIKEL YANG SAMA