Program Outward Bound untuk belia

Program Outward Bound untuk belia

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Pusat Outward Bound Brunei Darussalam memaklumkan bahawa ketika ini mereka sedang giat merancang dan menyusun beberapa program kursus khusus untuk belia-belia yang mempunyai minat dalam aktiviti lasak dan mencabar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, program berkenaan dinamakan Program Outward Bound Belia yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kursus Teroka Cabaran ‘Keyakinan Diri’ yang berlangsung selama dua hari, Kursus Sekapur Sireh ‘Potensi Belia’ selama tiga hari dan Kursus Sekapur Sireh ‘Awda adalah Pemimpin’ selama empat hari.

Program yang baru diperkenalkan ini lebih memfokuskan kepada penyertaan belia-belia yang berumur antara 13-35 tahun dan direka khas mengikut tema program kursus. Penyertaan adalah terhad kepada 16 orang bagi setiap kumpulan.

Kenyataan menjelaskan, antara aktiviti yang dimuatkan dalam program kursus berkenaan adalah kayak, abseiling, flying fox, solo night, pembangunan pasukan, mendaki batu, jungle trekking dan sebagainya.

Program kursus ini akan lebih menekankan kepada aspek-aspek pembangunan jati diri belia yang merangkumi ketahanan fizikal dan mental, kecepatan daya berfikir, menjalin hubungan setia kawan, berdikari, disiplin diri dan sebagainya.

Program kursus yang baru ini diharapkan supaya akan dapat membantu negara melahirkan belia-belia berjiwa besar, berdikari, mempunyai nilai patriotisme yang tinggi serta berguna kepada agama, bangsa dan negara bagi mencapai Wawasan Negara 2035.

Sehubungan dengan itu, bagi belia-belia yang berhasrat untuk mengikuti atau menyertai program kursus ini bolehlah menghubungi pejabat Outward Bound Brunei Darussalam di alamat Outward Bound Brunei Darussalam, Flat B9 UNIT NO. 4 Tingkat 2, Flat Anggerek Desa Simpang 32-66 Berakas atau menghubungi talian 2383970/8744997/8732794 atau melalui e-mel ke alamat obbd.kkbs@gmail.com atau melayari Facebook di Outward Bound Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA