Program P.A.R.K dilancarkan

Program P.A.R.K dilancarkan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 25 Okt – Manfaatkanlah kemudahan taman rekreasi yang ada di negara ini untuk tujuan bersenam dan beriadah bersama keluarga bagi membina masyarakat yang sihat dan aktif.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Kesihatan ada menyatakan bahawa kadar obesiti di negara ini adalah tinggi.

“Oleh itu, kementerian tersebut melalui agensi-agensi di bawahnya menyarankan orang ramai agar meluangkan lebih masa untuk membuat aktiviti fizikal yang sihat di luar rumah di tempat peranginan yang ada di seluruh negara dan memanfaatkan kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan sebaik-baiknya.”

Saranan ini dibuat oleh Pegawai Perubatan Kanak-kanak bagi Pusat Promosi Kesihatan (HPC), Dr. Ernina Nisdzarinah binti Haji Abdul Rani ketika ditemui selepas pelancaran Projek Program Aktif dan Riadah Kesihatan (P.A.R.K) semasa aktiviti riadah di Taman Persiaran dan Menara Cendera Kenangan, Kuala Belait hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin yang turut menyempurnakan perasmian alat-alat senaman di Taman Persiaran Kuala Belait diikuti senam-robik di Menara Cendera Kenangan bersama Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib, para penghulu mukim serta ketua-ketua kampung yang lain dan penduduk di daerah ini selepas ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis yang juga Penghulu Mukim Belait, Haji Pungut bin Ali.

Tetamu kehormat mencuba salah satu alat senaman ketika melawat jerayawara kesihatan di Menara Cendera Kenangan.
Tetamu kehormat mencuba salah satu alat senaman ketika melawat jerayawara kesihatan di Menara Cendera Kenangan.

Tetamu kehormat turut dipelawa untuk melawat pameran jerayawara kesihatan yang diadakan di tempat yang sama, bersama kakitangan Jabatan Daerah Belait, Pusat Promosi Kesihatan, Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria serta Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Belait.

Menurut Dr. Ernina, acara yang membawa tema ‘Maritah Beriadah Di Taman’ itu diadakan untuk mempromosikan Projek P.A.R.K dan juga untuk mempromosikan kemudahan alat-alat senaman baru yang telah dibina oleh Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria.

“Dengan adanya kemudahan itu, ia akan memudahkan lagi mereka yang lebih suka bersenam di luar rumah daripada pergi membayar untuk menggunakan peralatan senaman di pusat-pusat kecergasan dan senaman yang ada.

“Dari sini, ia diharap dapat menarik lebih ramai orang terutamanya golongan muda dan belia di negara ini untuk membuat aktiviti luar yang sihat dan mengambil inisiatif meluangkan lebih masa untuk bersenam,” jelas beliau.

Suasana ketika bersenam aerobik pagi tadi bersama-sama penduduk Daerah Belait.
Suasana ketika bersenam aerobik pagi tadi bersama-sama penduduk Daerah Belait.

Dr. Ernina juga memberitahu, senaman aerobik akan diadakan sepanjang bulan November, pada setiap Sabtu dari jam 5 hingga 6 petang dan akan dilaratkan lagi sebulan sekali pada bulan-bulan berikutnya di Menara Cendera Kenangan, di sini.

“Senamrobik setiap minggu ini akan dikendalikan oleh pelbagai pengajar kecergasan dari pelbagai pusat kecergasan dan senaman di Kuala Belait dan tidak terhad kepada senaman aerobik saja malah akan mengadakan senaman latihan popular Zumba kepada orang ramai,” tambahnya lagi.

Menurut Pegawai Perubatan Kanak-kanak itu lagi, program seperti ini juga dikendalikan bersama Pusat Promosi Kesihatan dan Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.

Beliau juga memuji dan menyuarakan penghargaan di atas penglibatan Majlis Perundingan Mukim Belait kerana sama-sama mengendalikan acara itu pada bulan-bulan berikutnya bermula Disember nanti.

“Ini bermakna setiap Majlis Perundingan Kampung di Daerah Belait ini akan membuat senaman di Menara Cendera Kenangan sebulan sekali untuk mempromosikan aktiviti riadah dan kesihatan dalam kalangan penduduk,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA