Program PECS bantu pelajar autisme

Program PECS bantu pelajar autisme

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Para pelajar autisme yang diserapkan dalam Program Picture Exchange Communication System (PECS) di beberapa buah sekolah di negara ini, telah menunjukkan peningkatan dalam kemahiran berinteraksi dan komunikasi sosial, sekali gus mengurangkan tingkah laku mencabar.

Perkembangan itu dikongsikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dalam ucapannya yang dibacakan oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh pada Persidangan Kebangsaan Autisme ke-8 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang bermula hari ini sehingga 1 Oktober.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, peningkatan itu membawa kesan positif kepada pembelajaran pelajar-pelajar autisme ini.

Setakat ini, 245 pelajar autisme berdaftar dengan Unit Pendidikan Khas dan dibantu oleh pakar dalam Pelan Pendidikan Individu.

Mereka ini menghadiri sembilan buah sekolah contoh di bawah kuasa Kementerian Pendidikan yang dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan untuk semua pelajar berkeperluan khas.

Gabungan persembahan dari pelajar Universiti Flinders dan Smarter.
Gabungan persembahan dari pelajar Universiti Flinders dan Smarter.
Pelajar Flinders bergambar ramai dengan tetamu kehormat dan Pengasas SMARTER.
Pelajar Flinders bergambar ramai dengan tetamu kehormat dan Pengasas SMARTER.

Sekolah-sekolah ini termasuklah Sekolah Rendah (SR) Rimba, SR Lambak Kanan Jalan 49, SR Keriam, SR Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang dan SR Pengiran Setia Jaya Pengiran Abdul Momin.

Manakala sekolah menengah pula terdiri daripada SM Menglait, SM Sultan Sharif Ali, SM Sayyidina Othman dan SM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah.

Disebabkan ada bukti kukuh intervensi awal pendidikan menghasilkan pembelajaran positif, Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Unit Pendidikan Khas turut membina keupayaan sumber manusia yang dikehendaki menghadiri beberapa kursus latihan dan pembangunan profesional, kata Yang Berhormat Pehin.

Setakat ini, dua orang pegawai menghadiri program TEACCH di United Kingdom dan seramai 70 orang guru lagi dilatih dalam Program Asas dan Lanjutan PECS, bilangan ini juga ditambah dengan guru-guru baru diperkenalkan ke dalam pendidikan inklusif, jelas Yang Berhormat Pehin.

Pada persidangan itu, pelajar dari Universiti Flinders, Australia yang menamatkan program intensif selama tiga minggu di SMARTER Brunei juga menerima sijil daripada Dr. Hajah Romaizah.

Turut hadir di persidangan itu ialah Australia Charge d’Affaires Selina Cho dan Pengasas SMARTER yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Malai Haji Abdullah bin Malai Haji Othman.

ARTIKEL YANG SAMA