Program Pembangunan Belia dapat sambutan menggalakkan

Program Pembangunan Belia dapat sambutan menggalakkan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Program Pembangunan Belia yang dihasratkan untuk menyediakan latihan kemahiran kepada mereka yang belum bekerja, terus mendapat sambutan apabila 177 orang belia terpilih telah mendaftar di Dewan Binadiri, Pusat Pembangunan Belia (PPB), hari ini untuk menyertai Sesi Januari 2016.

Program yang dikendalikan oleh PPB itu akan dijalankan selama setahun, di mana sepanjang tempoh itu, program berkenaan akan menekankan tiga komponen penting iaitu Latihan Kemahiran, Pembangunan Diri dan Penempatan Kerja.

Ketiga-tiga komponen latihan itu diserapkan melalui modul program dan pembelajaran yang akan diikuti sepanjang kursus, di mana Modul Pembangunan Diri menekankan pendidikan nilai, memupuk jati diri, pendedahan kepada senario yang berubah dan impaknya ke atas para pelatih, penekanan moral yang tinggi, memupuk hubungan sihat apabila bergaul, aspek memajukan diri dalam bidang yang diceburi, program galakan belajar dan menimba pengalaman, subjek meningkatkan kesedaran sosial yang sihat, membangun insan dan seumpamanya.

Program yang menekankan peningkatan diri dalam keperluan kemahiran ini dilaksanakan menurut piawaian yang diperakui bagi membolehkan para belia untuk berdikari.

Hadir semasa Majlis Pendaftaran Pelatih Sesi Januari 2016 ialah Pemangku Penolong Pengarah PPB, Awang Haswandi bin Haji Osman.

Awang Haswandi ketika hadir pada majlis tersebut.
Awang Haswandi ketika hadir pada majlis tersebut.
Bacaan ikrar oleh para belia yang menyertai Program Pembangunan Belia.
Bacaan ikrar oleh para belia yang menyertai Program Pembangunan Belia.

pg04_160112_f

Haji Anuar ketika menyampaikan taklimat.
Haji Anuar ketika menyampaikan taklimat.

Di samping itu, para ibu bapa juga berpeluang untuk mendengar taklimat mengenai peraturan pusat itu yang disampaikan oleh Pegawai Kesejahteraan, Haji Anuar bin Haji Ahmad.

Para pelatih yang terpilih untuk menyertai Program Sesi Januari 2016 akan melalui latihan program tiga komponen di mana mereka akan mengikuti Program Latihan Kemahiran dan Program Pembangunan Diri selama enam bulan.

Bagi Program Penempatan Kerja pula, para pelatih akan mengikuti program selama enam bulan sama ada di sektor kerajaan atau swasta selepas menamatkan Program Latihan Kemahiran dan Program Pembangunan Diri.

Daripada 177 orang belia yang menyertai Sesi Januari 2016, seramai 39 orang telah terpilih mengikuti Sijil Kecekapan Kemahiran dalam Aplikasi Asas Pejabat, 21 orang mengikuti Kursus Level 2 Award in 2D Computer Aided Design, 30 orang mengikuti Sijil Kecekapan Kemahiran dalam Penyediaan Makanan, 28 orang mengikuti Sijil Kecekapan Kemahiran dalam Perkhidmatan Makanan dan Minuman, 12 orang dalam Sijil Kecekapan Kemahiran dalam Basic Plumbing, sembilan orang dalam Sijil Kecekapan Kemahiran dalam Basic Refrigeration & Air Conditioning, 12 orang mengikuti Sijil Kecekapan Kemahiran dalam Fabrication, Welding & Pipe Work, 11 orang mengikuti Kursus Terapi Kecantikan dan 12 orang mengikuti Kursus Baik Pulih Kenderaan.

Para pelatih yang mengikuti Program Pembangunan Diri akan menjalani tiga komponen penting sepanjang tempoh pengajian di mana Program Latihan Kemahiran merupakan 10 daripada kursus yang ditawarkan oleh PPB.

Antara para Ibu bapa yang hadir.
Antara para Ibu bapa yang hadir.

pg04_160112_c

Program Pembangunan Diri adalah program mengenai perkara berkaitan dengan semi-akademik seperti asas komputer, pendidikan Islam, Bahasa Inggeris, Matematik, asas perakaunan, asas keusahawanan, disiplin diri dan pengurusan masa.

Para pelatih juga menjalani pembelajaran seperti kesempurnaan dalam melaksanakan sembahyang lima waktu, menghafaz Al-Quran, membaca ayat-ayat suci Al-Quran, zikir, nasyid, ceramah-ceramah agama, sembahyang Tarawih dan bertadarus serta Qiamulail semasa bulan Ramadan.

Penerapan program itu bermatlamat untuk memberikan pengajaran dan penekanan terhadap pengetahuan agama Islam dalam kalangan belia di pusat berkenaan kerana melaluinya secara tidak langsung akan membentuk peribadi serta sahsiah yang positif dalam kalangan belia selain menerapkan kegiatan keagamaan.

Program Penempatan Kerja pula bakal memberikan peluang kepada para pelatih untuk mengaplikasikan ilmu yang mereka pelajari bagi membolehkan mereka menimba kemahiran dan pengalaman dalam suasana pekerjaan sebenar.

Sesi Januari 2016 merupakan pengambilan ketiga bagi Persijilan City & Guilds, dan Pusat Pembangunan Belia akan membuka Sesi Julai 2016 bagi mereka yang tidak lagi bersekolah atau tidak bekerja untuk mendapatkan kemahiran melalui kursus-kursus yang ditawarkan oleh pusat berkenaan.

Oleh itu, mereka yang berminat boleh mendapatkan borang Program Pembangunan Belia di PPB pada waktu pejabat.

ARTIKEL YANG SAMA