Program Pengecualian Visa Brunei, Taiwan

Program Pengecualian Visa Brunei, Taiwan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Taiwan dijangka bakal memasuki fasa baru dan diperkembangkan apabila Taiwan akan memperkenalkan Program Pengecualian Visa bagi Warganegara Brunei ke Taiwan bermula 1 Ogos nanti.

Bermula 1 Ogos, warga Brunei boleh membuat lawatan, melancong, mengendalikan urusan perniagaan, melawat keluarga atau menghadiri pelbagai acara di Taiwan seperti persidangan antarabangsa, acara sukan dan pameran perdagangan di Taiwan di bawah Program Pengecualian Visa itu bagi tempoh tinggal tidak lebih daripada 30 hari.

Namun begitu bagi peringkat awal program berkenaan, penduduk tetap Brunei adalah tidak termasuk dalam program berkenaan, jelas Wakil Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan ke Negara Brunei Darussalam, Jason C.H. Wan dalam sidang media di Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan di Brunei Darussalam, Gadong, hari ini.

Jason turut menyatakan bahawa pihaknya akan terus mengadakan perbincangan dengan pihak Taiwan untuk memasukkan penduduk tetap Brunei ke dalam program berkenaan di fasa akan datang.

Beliau menerangkan bahawa program itu merupakan salah satu inisiatif di bawah dasar Going South, Taiwan di mana pihak Taiwan memperkenalkan program berkenaan bagi warga Brunei dan juga Warga Taiwan supaya mereka mampu melawat ke Taiwan tanpa memerlukan visa untuk meningkatkan lagi perdagangan di antara Taiwan dan negara-negara ASEAN serta pelancong dari negara-negara ASEAN ke Taiwan.

Jason C.H.Wan mengumumkan dan menerangkan mengenai Program Pengecualian Visa bagi warga Brunei yang diperkenalkan oleh Taiwan bagi tempoh cubaan selama setahun bermula 1 Ogos 2016 hingga 31 Julai 2017.
Jason C.H.Wan mengumumkan dan menerangkan mengenai Program Pengecualian Visa bagi warga Brunei yang diperkenalkan oleh Taiwan bagi tempoh cubaan selama setahun bermula 1 Ogos 2016 hingga 31 Julai 2017.

Bagi fasa awal program berkenaan, ia dilakukan bagi tempoh percubaan selama setahun bermula 1 Ogos 2016 hingga 31 Julai 2017, Jason menambah bahawa selain daripada Brunei dan Thailand, negara-negara ASEAN lain yang sudah menikmati manfaat daripada Program Pengecualian Visa adalah Malaysia dan Singapura yang mana kedua-dua buah negara berkenaan juga mempunyai Program Pengecualian Visa bersama dengan Taiwan.

Jason berkata dengan adanya Program Pengecualian Visa bagi warga Brunei itu, beliau percaya lebih ramai warga Brunei akan membuat lawatan ke Taiwan bukan sahaja untuk melawat tempat-tempat menarik yang terdapat di Taiwan tetapi juga dapat meneroka peluang-peluang pelaburan yang ada di sana.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan harapan jika Program Pengecualian Visa sama boleh diberikan kepada warga Taiwan kerana beliau yakin usaha itu bukan sahaja akan menggalakkan lebih ramai pelancong dari Taiwan untuk melancong ke Brunei tetapi juga menggalakkan pelabur-pelabur untuk berkunjung ke negara ini bagi meneroka peluang pelaburan di sini.

Jason berkata, pada masa ini terdapat beberapa orang usahawan Taiwan yang melabur di Brunei dan yakin jumlah itu akan meningkat jika terdapat Program Pengecualian Visa berkenaan di mana pelabur-pelabur Taiwan yang mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian, akuakultur dan tanaman perhiasan akan berminat untuk melabur dan bekerjasama dengan syarikat tempatan.

Beliau juga yakin bahawa jumlah pelancong dari Taiwan yang akan melawat Brunei juga akan meningkat serta akan mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara.

Jason berkata bahawa Malaysia merupakan satu contoh yang baik di mana dengan Program Pengecualian Visa yang diperkenalkan bagi warga Taiwan, jumlah pelancong Taiwan ke Malaysia meningkat dan dengan adanya penerbangan terus dari Taiwan ke Kota Kinabalu, setentunya akan menggalakkan pelancong Taiwan di Sabah atau Sarawak untuk memasuki Brunei sebagai destinasi lawatan mereka seterusnya di Borneo.

Mengulas mengenai jumlah pelawat dari Brunei ke Taiwan, beliau mendedahkan bahawa pada 2016, seramai 1,458 orang penduduk Brunei telah melawat ke Taiwan dan sehingga akhir Jun 2016, seramai 798 orang penduduk Brunei telah melawat Taiwan.

Menerangkan lanjut mengenai dengan Program Pengecualian Visa bagi warga Brunei ke Taiwan, Jason menjelaskan bahawa warga Brunei yang ingin melawat Taiwan dinasihatkan untuk mempunyai pasport biasa, rasmi atau diplomatik yang mempunyai tempoh sah lebih daripada enam bulan manakala mereka yang mempunyai pasport atau dokumen perjalanan kecemasan, sementara dan tidak formal terkecuali daripada kategori berkenaan.

Sementara itu, warga Brunei yang ingin berkunjung ke Taiwan bagi tujuan seperti pekerjaan, belajar, menetap dengan keluarga atau menghadiri kursus atau yang ingin untuk tinggal di Taiwan lebih daripada 30 hari, mereka dinasihatkan untuk membuat permohonan visa yang sesuai di Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan di Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA