Program penglibatan polis-pelajar sempena cuti sekolah

Program penglibatan polis-pelajar sempena cuti sekolah

LABUAN, 27 Okt (Bernama) – Polis mengingatkan pelajar-pelajar di sini supaya mengelak daripada terlibat kegiatan tidak bermoral dan jenayah memandangkan cuti akhir persekolahan bakal bermula tidak lama lagi.

Ketua Polis Labuan Supt Adzhar Othman berkata tindakan menangani jenayah dan kegiatan antisosial menjadi keutamaan pasukan polis dan kerajaan.

“Oleh kerana cuti persekolahan akan bermula tidak lama lagi, kami telah memulakan program melibatkan polis dan pelajar di sekolah rendah dan menengah yang terpilih.

“Kami percaya hubungan rapat antara polis dan pelajar dapat mengurangkan gejala sosial atau kegiatan berkaitan jenayah,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan program Cuti Penggal Akhir Persekolahan di Sekolah Menengah Sains Labuan di sini, hari ini.

Beliau berkata pelajar tidak harus menjadi mangsa jenayah atau terlibat dengan kegiatan jenayah.

“Polis sedang bekerjasama dengan pihak sekolah melalui pelbagai cara untuk menangani keperluan khusus sekolah atau kawasan tempatan. Perkongsian antara sekolah dan polis terus menjadi perkara penting dalam pelaksanaan dasar.