Program Pengurusan dan Pemulihan IMR dilancarkan

Program Pengurusan dan Pemulihan IMR dilancarkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Satu program baru dinamakan ‘Pengurusan dan Pemulihan Penyakit (IMR)’ telah diperkenalkan bagi individu yang mengalami masalah mental.

Pelancaran awal program berkenaan telah diadakan hari ini, di Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Rimba, yang disempurnakan oleh Pengarah Perkhidmatan Hospital, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Maslina binti Haji Mohsin selaku tetamu kehormat majlis yang diselajurkan dengan sambutan Hari Raya bagi warga dan pengamal IMR.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, IMR adalah program yang dimulakan oleh Unit Terapi Pekerjaan yang memperkasa ahli-ahli dan keluarga mereka untuk menguruskan penyakit dan menetapkan matlamat pemulihan mereka sendiri dan membuat keputusan mengenai rawatan mereka.

Usaha ini dilakukan menerusi modul-modul pendidikan berasaskan bukti oleh pengamal-pengamal IMR yang merupakan profesional kesihatan dari Unit Terapi Pekerjaan, Unit Pekerja Sosial Perubatan, jururawat dan pegawai-pegawai kesihatan dari Jabatan Psikiatri Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) serta Divisyen Psikologi Komuniti dari Jabatan Perkhidmatan Kesihatan.

Menerusi program berkenaan, para pengamal IMR cuba membantu ahli-ahli IMR, yang mengalami simptom-simptom skizofrenia, ‘Bipolar Affective Disorder’ atau kemurungan, dengan kemahiran, pengetahuan dan strategi yang diperlukan untuk menangani isu-isu yang menjejaskan kehidupan seharian mereka berhubung dengan penyakit mereka dan hala tuju peribadi ke arah pemulihan.

Dr Hajah Maslina (4 kanan) selaku tetamu kehormat majlis pelancaran program itu.
Dr Hajah Maslina (4 kanan) selaku tetamu kehormat majlis pelancaran program itu.

Menurut kenyataan itu, sebelum pelancaran awal berkenaan, program IMR telah dilaksanakan di dua tapak pilot, iaitu di Pusat Pemulihan Psikiatri dan di Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, yang sedang dijalankan pada masa ini.

Dalam pada itu, bersempena pelancaran awal dan semangat Hari Raya Aidilfitri, buat julung-julung kalinya, majlis sambutan Hari Raya telah dianjurkan bersama oleh Unit Terapi Pekerjaan, Unit Pekerja Sosial Perubatan, Jabatan Psikiatri Hospital RIPAS dan Divisyen Psikologi Komuniti.

Majlis ini bertujuan untuk menghimpunkan ahli-ahli IMR, orang ramai serta profesional penjagaan kesihatan untuk melihat usaha sokongan kendiri yang dilaksanakan oleh Pasukan Kesihatan Bersekutu masing-masing dan Jabatan Psikiatri bagi ahli-ahli yang mempunyai masalah mental dan penjaga mereka.

Diharapkan dengan pengenalan program IMR itu, rawatan dan penjagaan yang lebih komprehensif, holistik, kos efektif dan bersistematik bagi ahli-ahli yang mengalami masalah mental dapat diberikan di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA