Program Perkembangan Kakitangan bantu tingkatkan pengalaman

Program Perkembangan Kakitangan bantu tingkatkan pengalaman

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 5 Okt – Unit Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-Sekolah telah memberi peluang kepada semua kaunselor untuk mengendalikan program dan aktiviti-aktiviti mengikut kluster masing-masing.

Bagi kluster 4, Unit Kaunseling dan Kerjaya telah memberi mandat untuk mengendalikan Perkembangan Kakitangan (Staff Development) berbentuk ilmiah bersempena Sambutan Hari Guru. Oleh itu, Kaunselor Kluster 4 petang tadi telah mengadakan aktiviti yang melibatkan Taman Eco Ponies di Kampung Bang Nukat, Jalan Lamunin, Tutong.

Seramai 30 orang kaunselor dan 13 orang pegawai dari Unit Kaunseling dan Kerjaya dan kaunselor dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menyertai aktiviti berkenaan.

Aktiviti melibatkan kaunselor-kaunselor diberikan penerangan ringkas mengenai Taman Eco Ponies dan seterusnya diberi penerangan ringkas mengenai jenis herba dan fungsi serta manfaat herba tersebut.

Selain itu, mereka juga menyaksikan tunjuk cara memasak menggunakan buluh, yang mana masakan tersebut menghidangkan makanan sihat.

Program tersebut amat bertepatan dengan program perkembangan kakitangan kerana ia dapat memberikan ketenangan jiwa kepada para kaunselor.

Adapun objektif program ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara pegawai-pegawai dari Unit Kaunseling dan Kerjaya dengan para kaunselor sambil dapat bertukar-tukar pendapat dan menimba pengalaman bersama dalam mengenali jenis-jenis herba.

Selain itu, program ini akan dapat memberikan pengalaman dan mempelajari bagaimana cara memasak menggunakan buluh serta dapat mengasah bakat mereka dalam bidang masakan dengan menggunakan herba.