Program Perus...

Program Perusahaan TAIB dilancarkan

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) telah menerima 54 penyertaan bagi mengikuti Program Perusahaan TAIB yang berlangsung selama dua minggu bermula hari ini.

Pelancaran program tersebut telah berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa dan disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Urusan TAIB, Awang Maswadi bin Mohsin.

Dalam ucapannya di majlis itu, Awang Maswadi berkata, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam usaha meningkatkan perniagaan di negara ini melalui Ease of Doing Business telah berjaya melaksanakan peningkatan dari segi aktiviti berkaitan dengan pendaftaran perniagaan, pembukaan premis perniagaan, import dan eksport serta penambahan lainnya.

“Sekarang, murah dan cepat untuk mendaftar perniagaan, walau bagaimanapun, lebih banyak cabaran dihadapi dalam kemapanan perniagaan mereka. Inilah yang diharap oleh Perbadanan TAIB melalui Program Perusahaan.”

Peserta akan dapat belajar dan berkongsi buah fikiran dengan para peserta dan penyampai untuk membawa syarikat-syarikat dari masa ini hingga ke masa depan.

Awang Maswadi bergambar ramai bersama para peserta program.
Awang Maswadi bergambar ramai bersama para peserta program.
Awang Maswadi (kanan) melancarkan Program Perusahaan TAIB.
Awang Maswadi (kanan) melancarkan Program Perusahaan TAIB.

“Untuk lebih mampan dan membesar, syarikat harus mempunyai strategi yang baik, komitmen dan kerja keras. Inilah yang dijangka dari program ini untuk memupuk minda peserta,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, para peserta juga harus bekerjasama dengan peserta lainnya bagi mewujudkan sinergi dalam perniagaan dan inovatif.

Bootcamp yang akan diadakan di iCenter sehingga 18 Januari itu meliputi bengkel cadangan perniagaan dan pembentangan dengan tujuan untuk meningkatkan pengetahuan pengurusan perniagaan para peserta dan memastikan mereka dilengkapi dengan buah fikiran berkaitan dengan perniagaan yang lebih baik.

Bengkel akan dijalankan oleh pelbagai individu berinspirasi yang berjaya memperluaskan perniagaan mereka.

Bengkel The Game of Entrepreneurship akan dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif Eduvo, Vincent Chew yang memberitahu bahawa bengkel selama tiga hari bersama beliau akan menukar pemikiran para peserta untuk lebih berjaya dalam peluang perniagaan, pengurusan dan penambahan pengetahuan perniagaan berbentuk permainan.

Antara yang hadir ke majlis itu.
Antara yang hadir ke majlis itu.

Katanya lagi semasa ditemu bual, ramai peniaga berfikiran, dengan hanya membuat pelan perniagaan dan penyampaian yang baik kepada pelabur, ia akan berjaya menarik hati pelabur tetapi pada akhirnya membawa kepada kegagalan.

Menurutnya, antara petua terbaik untuk membangun perniagaan adalah untuk mencari pasaran dahulu dan pengesahan perniagaan diikuti dengan menarik permintaan pelanggan sebelum menarik hati pembiaya.

Para peserta juga akan dapat manfaat daripada pelbagai bengkel termasuk pelan kewangan oleh Pengarah Bersama Biz Advise, Ambrose Nathan, penjenamaan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hub BE, Mohd Shafique Hussain, Bengkel Kepimpinan oleh Pengasas muBn Learning dan Growth Company, Dr. Mona Kassim dan penyampaian oleh Stuart lee perwakilan Kelab Brunei Speaker.

Selain daripada bengkel, program juga akan diisi dengan ‘Hari Inspirasi’ yang akan memberi keyakinan kepada para peserta. Antara penyampai yang menyertai acara itu nanti ialah Pemilik dan Pengarah Pemasaran Baba Rafi, Nilam Sari, Pengarah Kreatif Astrea Software Development, Josan Astrid dan Penyunting dan Penerbit Majalah Inspire, Shaun Hoon.

Program Perusahaan ini ditaja sepenuhnya oleh TAIB sebagai inisiatif dalam menyokong visi kerajaan membantu perusahaan kecil dan sederhana menuju Wawasan Brunei 2035.

ARTIKEL YANG SAMA