Program QS Camp dedah ciri kepimpinan

Program QS Camp dedah ciri kepimpinan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 1 Dis – Seramai 40 orang pelajar Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) yang terdiri daripada ahli-ahli baru Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Pembimbing Rakan Remaja (PRR) mengikuti Program QS Camp iaitu Qa’id Assyumul selama tiga hari dua malam yang diadakan di kawasan sekolah berkenaan, bermula hari ini.

Penyelaras Aktiviti Program, Dayang Norhaslinda binti Haji Mohd Adnan yang merupakan setiausaha program ketika ditemui pagi tadi memberitahu, aktiviti itu merupakan program tahunan PTET dengan tahun ini, Program QS Camp dinamakan sebagai Qa’id Assyumul yang bermaksud pemimpin pelajar yang holistik.

Jelasnya lagi, program ini memberi pendedahan kepada para pemimpin pelajar mengenai maklumat yang berkaitan dengan kepimpinan dan ciri-ciri pemimpin yang boleh diteladani di samping membentuk pelapis pemimpin yang dinamik serta berkebolehan selaras dengan Wawasan Negara menjelang tahun 2035.

Perkhemahan sehingga 3 Disember ini berkonsepkan ala ketenteraan di mana para pelajar dibahagikan kepada lima platun.

Beberapa aktiviti akan dijalankan, antaranya Taklimat Perkhemahan yang memaklumkan mengenai peraturan perkhemahan dan aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang perkhemahan, pembinaan pasukan yang akan menerapkan sikap bekerjasama atau sinergi pasukan dalam kalangan pelajar, latihan kawad dan banyak lagi.

Pelajar-pelajar bergambar ramai bersama kumpulan platun mereka yang berjaya menghasilkan perkhemahan di kawasan PTET.
Pelajar-pelajar bergambar ramai bersama kumpulan platun mereka yang berjaya menghasilkan perkhemahan di kawasan PTET.
Penyelaras Aktiviti Program, Dayang Norhaslinda ketika ditemu bual semalam.
Penyelaras Aktiviti Program, Dayang Norhaslinda ketika ditemu bual semalam.

Menurut Penyelaras Aktiviti Bersama Program QS Camp, Awang Azrin bin Haji Bolhassan, program ini sangat penting bagi mendedahkan pelajar kepada aktiviti bermanfaat yang menjurus ke arah melahirkan pemimpin pelajar yang berwibawa dan berkaliber tinggi yang mampu menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan negara.

Antara objektif program ini adalah bagi memantapkan pengetahuan sedia ada peserta berkaitan dengan program kepimpinan jati diri, mengukuhkan nilai-nilai teras PTET iaitu Perserverance, Trustworthty, Excellence dan Team Synergy dalam kalangan pemimpin pelajar.

Selain itu, ia juga akan dapat membina dan memupuk daya kepimpinan yang berkualiti serta mengukuhkan nilai-nilai positif seperti keyakinan diri, berdisiplin, berwawasan, beriman, berakidah mantap, berakhlak mulia, berkualiti, berkompetensi, produktif, kreativiti dan berinovasi, serta dapat mengeratkan silaturahim antara ahli MPP/PRR dan juga tutor-tutor.

Program perkhemahan QS ini diharap dapat melahirkan pemimpin pelajar yang berkeyakinan tinggi, identiti jati diri yang kukuh, berketerampilan dan berdaya tahan daripada segi kerohanian, mentaliti dan fizikal demi menjaga nama baik bangsa dan negara, jelas Awang Azrin lagi.