Program Rehabilitasi Terapeutik berakhir

Program Rehabilitasi Terapeutik berakhir

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Para pesakit Pusat Kanser Negara Brunei Darussalam (TBCC) dan Pusat Rehabilitasi Neurosains Negara Brunei Darussalam (BNSRC) di Jerudong Park Medical Centre (JPMC), kelmarin, menerima undangan menghadiri Majlis Persembahan Aktiviti Kumpulan Terapeutik bagi menandakan tamatnya Program Rehabilitasi Terapeutik pusat perubatan tersebut.

Program selama tiga minggu itu bertujuan untuk mempertingkatkan lagi keupayaan kognitif dan fizikal pesakit bagi mempersiapkan diri supaya dapat sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di Bilik CME, JPMC itu ialah Ahli Lembaga Pengarah JPMC, Awang Abdul Lattif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

Hadir sama ialah Pengarah Eksekutif dan Perubatan, Dato Dr Isham bin Jaafar, Pengarah Perubatan TBCC, Dr Kenneth Kok, pegawai kanan JPMC dan anggota keluarga para pesakit.

Ketua Jabatan Rehabilitasi JPMC, Vivian Suk Kee Tie dalam ucapan alu-aluannya telah memberi penerangan ringkas mengenai Aktiviti Kumpulan Terapeutik.

(Dari Kiri) Awang Abdul Lattif, Dato Dr Isham bin Jaafar dan Dr Kenneth Kok ketika hadir sama di majlis itu.
(Dari Kiri) Awang Abdul Lattif, Dato Dr Isham bin Jaafar dan Dr Kenneth Kok ketika hadir sama di majlis itu.
Kumpulan Terapeutik ketika mengadakan persembahan di JPMC.
Kumpulan Terapeutik ketika mengadakan persembahan di JPMC.

“Kami gembira dapat menganjurkan Aktiviti Kumpulan Terapeutik ini dan pada kali ini kami meraikan kejayaan pesakit kanser dan strok yang telah menyertai sehingga tamat program selama tiga minggu dan memperbaiki keupayaan mereka dalam bertutur.

“Mereka juga cergas dan lebih bertenaga, berstamina dan fungsi fizikal yang baik,” kata beliau.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada anggota keluarga pesakit yang juga menyumbang kepada kejayaan majlis itu sama ada dari segi sokongan emosi mahu pun sosial.

Ujarnya, sokongan emosi yang diberikan anggota keluarga pesakit menjadi salah satu faktor penting dalam kejayaan pesakit melawan penyakit yang dihidap.

Para hadirin juga dipersembahkan dengan persembahan daripada Expression Music Academy yang memperkenalkan pemain biola kanak-kanak berumur 13 tahun, Kristine Clair “Kaycee” Uchi Galano yang banyak meraih anugerah muzik ternama.

Sementara itu, para pesakit mempersembahkan bacaan zikir dan nasyid dan medley rangkaian lagu motivasi bagi mempamerkan peningkatan dalam keupayaan yang telah diperolehi sepanjang menyertai program itu.

Para penghibur mengakhiri persembahan mereka dengan bersama tetamu kehormat pada upacara menyalakan Replika Tugu Mercu Dirgahayu 60.

ARTIKEL YANG SAMA