Program Restoran Sihat dilancar di Home Kitchen

Program Restoran Sihat dilancar di Home Kitchen

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Dis – Dalam usaha untuk membendung peningkatan penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCDs) dan juga menggalakkan inisiatif pemakanan sihat, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan telah melancarkan Program Restoran Sihat di Home Kitchen, Beribi, hari ini.

Hadir menyempurnakan pelancaran program itu ialah Pengarah Umum Kementerian Kesihatan, Dr. Awang Zainal Ariffin bin Haji Awang Yahya.

Turut hadir ialah para pegawai kanan dan kakitangan di Kementerian Kesihatan dan Pusat Promosi Kesihatan.

Menurut Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Dr. Hajah Norhayati binti Haji Mohd Kassim, antara tujuan program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan kesedaran pihak restoran dan orang awam mengenai penyediaan serta pemilihan pilihan makanan yang sihat di samping menggalakkan budaya dan amalan pilihan lebih sihat dalam kalangan restoran, pengurus dan pelanggan.

Tetamu kehormat menyampaikan sijil penyertaan kepada pemilik Restoran Home Kitchen.
Tetamu kehormat menyampaikan sijil penyertaan kepada pemilik Restoran Home Kitchen.
Antara menu makanan di Restoran Home Kitchen yang berteraskan ‘Healthier Choice.’
Antara menu makanan di Restoran Home Kitchen yang berteraskan ‘Healthier Choice.’
Dr. Awang Zainal Ariffin bersama tetamu lain semasa majlis pelancaran program berkenaan kelmarin.
Dr. Awang Zainal Ariffin bersama tetamu lain semasa majlis pelancaran program berkenaan kelmarin.

“Program ini memberi tumpuan kepada mewujudkan persekitaran yang menyokong ke arah gaya hidup sihat, di mana restoran yang ikut serta dalam program ini akan menyediakan pilihan makanan yang lebih sihat kepada pelanggan”.

Ini, katanya, membolehkan pelanggan untuk memilih pilihan lebih sihat daripada senarai menu yang sedia ada.

Restoran yang mengambil bahagian akan menerima sokongan penuh dan bantuan daripada Pegawai Pemakanan dari Pusat Promosi Kesihatan untuk memaksimumkan pilihan makanan yang sihat, tambah Dr. Hajah Norhayati.

Sebanyak sembilan buah restoran telah ikut serta dalam program berkenaan sejak tahun 2014 dan menjadi rakan kongsi untuk menyokong inisiatif pemakanan sihat, dan Home Kitchen merupakan rakan kongsi baru dalam mempromosi pilihan sihat.

Pihak restoran yang mengambil bahagian juga disyorkan untuk memenuhi permintaan kurang gula, kurang garam dan kurang lemak atau minyak tanpa menjejaskan rasa makanan.

Makanan dan minuman yang diiktiraf sebagai sihat akan dilabel dengan simbol ‘Pilihan Bijak’ atau ‘Healthier Choice.’

Dr. Hajah Norhayati juga berkata, kelayakan setiap restoran akan dinilai oleh Pusat Promosi Kesihatan dan perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Menyentuh mengenai penyakit-penyakit tidak berjangkit, beliau berkata kanser, penyakit jantung, diabetes mellitus, penyakit serebrovaskular dan darah tinggi merupakan punca utama kematian di Negara Brunei Darussalam sejak lima tahun yang lalu.

Antara faktor risiko NCDs termasuk amalan cara hidup yang tidak sihat seperti pemakanan tidak sihat, tidak mengamalkan kegiatan fizikal, merokok dan tekanan yang tidak terkawal.

“Mempunyai berat badan berlebihan dan obes juga menyebabkan peningkatan NCDs berkenaan,” tambah beliau.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan, hasil dapatan Kaji Selidik Kebangsaan Status Kesihatan dan Pemakanan 2009-2011 fasa-2:5-75 tahun yang baru dikeluarkan telah mendapati bahawa pengambilan jumlah kalori dalam kalangan lelaki adalah lebih kurang 1,714 kalori manakala itu, wanita sebanyak 1400 kalori.

Sebanyak 53.3 peratus lelaki dan 54.6 peratus wanita telah mengambil lebih daripada 30 peratus tenaga daripada lemak, manakala itu, sebanyak 55.4 peratus lelaki dan 54.6 peratus perempuan mengambil lebih daripada 10 peratus tenaga daripada lemak tepu.

Dengan perasmian program di Home Kitchen itu, diharapkan restoran-restoran lain juga akan ikut serta dalam program berkenaan dan bekerjasama dalam menyokong inisiatif pemakanan sihat serta membantu mencegah dan mengawal risiko NCDs di Negara Brunei Darussalam.

Dengan adanya kerjasama dan penglibatan pihak restoran dalam program ini akan dapat menyokong salah satu objektif utama dalam BruMAP-NCD 2013-2018 dan merealisasikan Visi Kementerian Kesihatan 2035 ‘Bersama Ke Arah Warga Sihat.’

ARTIKEL YANG SAMA