Program RMT SK Bako tersusun, kemas dan menarik

KUCHING – Sekolah Kebangsaan (SK) Bako tampil berbeza dalam pengurusan dan pelaksanaan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) apabila menu dihidangkan dalam bekas makanan dan minuman berpenutup mulai sesi persekolahan tahun ini.

Idea yang dicetuskan pihak pengurusan sekolah itu mendapat kerjasama baik pengusaha kantin menyaksikan program RMT di sekolah tersebut kelihatan menarik dan tersusun, malahan murid-murid semakin berselera menikmati juadah yang dihidangkan.

Guru Besarnya Awang Majri Awang Rosli, 57, berkata inisiatif tersebut diambil bagi menambah baik pengurusan menu seterusnya menjamin kebersihan serta keselesaan penerima bantuan di sekolah yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar raya Kuching itu.

“Sebelum ini setiap menu dihidangkan dalam bekas makanan pakai buang, bagaimanapun bermula sesi persekolahan tahun ini saya cadangkan buat kelainan supaya makanan dan minuman dihidangkan dalam bekas bertutup, berwarna-warni dan disusun mengikut tahun persekolahan.

“Alhamdulillah idea tersebut mendapat persetujuan pengusaha kantin. Justeru, sejak sesi persekolahan bermula awal tahun ini pengurusan dan pelaksanaan program RMT sekolah ini tampil lebih menarik,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sekolah Kebangsaan Bako tampil berbeza dalam pengurusan dan pelaksanaan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) apabila menu dihidangkan dalam bekas makanan dan minuman berpenutup bermula sesi persekolahan tahun ini. – Bernama
Murid Sekolah Kebangsaan Bako menikmati makanan yang tampil berbeza dalam pengurusan dan pelaksanaan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) apabila menu dihidangkan dalam bekas makanan dan minuman berpenutup bermula sesi persekolahan tahun ini. – Bernama

RMT dikelola, diselia dan dilaksanakan sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada 1979 bagi memberi makanan tambahan kepada murid sekolah rendah, terutamanya dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah, secara imbuhan buat sementara waktu, bertujuan memperbaiki keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan.

Seramai 116 murid Tahun Dua hingga Tahun Enam SK Bako menerima bantuan RMT tahun ini (2018) menerusi program yang telah bermula di sekolah tersebut sejak dibuka pada 2006.

Awang Majri berkata bagi murid tahun satu bantuan akan bermula awal Februari, selepas proses saringan selesai.

“Program RMT disediakan kepada penerima bantuan setiap Isnin-Jumaat dan hidangan bertukar setiap hari mengikut menu yang diberikan KPM. Setiap hari dua guru akan bertugas memeriksa makanan yang dihidangkan serta senarai kehadiran murid,” katanya yang berkhidmat di sekolah itu sejak 2016.

Selepas sembilan pelaksanaan (2 – 11 Jan), beliau berkata pihak sekolah mendapat maklum balas positif daripada murid dan ibu bapa.

Sementara itu Pengurus Iffat Katering Normala Bujang, 50, berkata biarpun perlu mengeluarkan sedikit kos untuk membeli barangan seperti bekas makanan dan minuman berpenutup serta sudu dan garpu plastik, mereka tetap berpuas hati  dapat memberi kelainan kepada pengurusan program tersebut.

Katanya dalam urusan perniagaan khususnya melibatkan bantuan kepada golongan  kurang berkemampuan, mereka tidak meletakkan faktor keuntungan pada tempat pertama.

“Alhamdulillah pembaharuan ini menyaksikan makanan terbuang berkurangan, ada murid ucapkan terima kasih kerana juadah dihidangkan sedap dan saya nampak mereka gembira setiap kali makan ketika waktu rehat,” katanya yang dibantu lima kakitangan setiap hari.

Tempoh pelaksanaan RMT adalah tidak melebihi 190 hari persekolahan dengan peruntukan sebanyak RM2.50 bagi seorang murid sehari di Semenanjung Malaysia dan RM3.00 bagi seorang murid sehari di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan (bermula 2015).

Program RMT akan bermula pada hari pertama persekolahan bagi murid tahun 2 hingga tahun manakala murid tahun satu dan murid cicir, akan mula menikmatinya pada hari pertama persekolahan bagi Februari tahun semasa. – Bernama