Program RRP bantu tingkatkan semangat kenegaraan

Program RRP bantu tingkatkan semangat kenegaraan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG – Untuk memberikan kesedaran sivik dan semangat kenegaraan kepada golongan remaja, Jabatan Penerangan melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong dan Unit Kenegaraan dan Kemasyarakatan dengan kerjasama Sekolah Menengah Sufri Bolkiah telah mengadakan Program Rakan Remaja Penerangan (RRP) di Dewan Perkumpulan, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong.

Program Rakan Remaja Penerangan merupakan program persembahan khusus bagi golongan remaja terutama bagi pelajar sekolah dalam menyebarluaskan maklumat semasa.

Objektifnya adalah untuk mendekati para remaja di sekolah-sekolah supaya mereka peka dengan perkembangan semasa, menanamkan semangat kenegaraan dan tanggungjawab sosial di kalangan remaja serta menjadikan pelajar sebagai ejen dalam penyebaran maklumat yang positif dan berkesan kepada rakan sebaya.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Kluster 5, Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

Antara pelajar Tahun 9 dan Tahun 10 yang hadir di program tersebut.
Antara pelajar Tahun 9 dan Tahun 10 yang hadir di program tersebut.

Turut hadir ialah Pengetua Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Dayangku Hajah Norahizan binti Pengiran Haji Bungsu. Acara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan “Allah Peliharakan Sultan” dan Lagu Patriotik “Bendera Negara”. Majlis juga diisi dengan tanyangan video klip animasi “Tatacara Pengibaran Bendera” dan “Kibarkan dengan Megah Bendera Negara”.

Program diisi dengan taklimat kenegaraan yang disampaikan oleh Ketua Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Awang Hasanul Hidayat bin Haji Abu Bakar selaku pengerusi Bersama Program Rakan Remaja Penerangan.

Program diserikan dengan persembahan Tarian Moden Kontemporari “Sebarkan ke Seantero Dunia” dan persembahan lakonan “Jong Batu” oleh penuntut-penuntut sekolah tersebut.

Seramai 360 pelajar Tahun 9 dan Tahun 10 hadir di program tersebut. Mereka juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian Juara Bintang Penerangan 2016 dan lawak jenaka serta kuiz kenegaraan yang disampaikan oleh pelawak-pelawak undangan tanah air.

ARTIKEL YANG SAMA