Program Sumbang dan Bantu dilancar

Program Sumbang dan Bantu dilancar

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 3 Jun – Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) dengan kerjasama Stesen Radio Televisyen Brunei (RTB) cawangan Daerah Tutong telah mengadakan Program Sumbang dan Bantu bagi acara ‘Bantu, Senyum dan Terima Kasih’ yang berlangsung di ruang legar Hua Ho, Petani Mall Tutong, pagi tadi.

Hadir melancarkan program itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam selaku pengerusi SUKA.

Antara yang hadir ialah para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ketua-ketua jabatan kerajaan, kakitangan RTB cawangan Daerah Tutong dan ahli-ahli SUKA.

Program Sumbang dan Bantu merupakan program berterusan yang mula diperkenalkan
semasa sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 10 Januari yang lalu.

Program berbentuk kemasyarakatan ini antara lain bertujuan bagi menyemai rasa kasih sayang dan memupuk rasa prihatin terhadap masyarakat yang memerlukan bantuan.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Program Sumbang dan Bantu.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Program Sumbang dan Bantu.

Selain menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang konsep kitar semula, ia juga sebagai memupuk sikap budaya berjimat cermat bagi mengelakkan pembaziran.

Dalam program yang turut disokong oleh beberapa buah agensi kerajaan itu, pakaian-pakaian disumbangkan kepada mereka yang memerlukan, termasuk kepada anak-anak istimewa, dan terbuka kepada orang ramai dalam sama-sama memberi keceriaan kepada penerimanya.

Sumbangan pakaian ini merupakan hasil kutipan daripada orang ramai yang menghantar sumbangan mereka kepada SUKA dan disasarkan kepada penerima-penerima di bawah bantuan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

Program berkebajikan ini merupakan salah satu usaha kerjasama yang dikendalikan oleh pihak pertubuhan bukan kerajaan dalam membantu pihak kerajaan meringankan bebanan masyarakat yang memerlukan bantuan di negara ini.

Ia juga sebagai inisiatif SUKA dalam mempelbagaikan kaedah pemberian bantuan kepada yang memerlukan secara lebih efektif dan berwawasan, di samping menanam semangat kesukarelawanan dalam ka-
langan masyarakat khususnya para belia di negara ini.

Pemangku Pegawai Daerah Tutong ketika ditemui, memuji usaha murni pihak sukarelawan dan orang ramai bagi sama-sama membantu masyarakat yang memerlukan dan menambahkan lagi keceriaan
mereka.

Orang ramai kelihatan sibuk memilih pakaian percuma.
Orang ramai kelihatan sibuk memilih pakaian percuma.

Selaku Pengerusi SUKA, beliau juga mengalu-alukan usaha orang ramai untuk menyumbang pakaian-pakaian berupa pakaian atau makanan kepada mereka yang memerlukan.

Menurut beliau, mana-mana sumbangan yang diberikan perlulah dihantar ke Pejabat SUKA di Jalan Sungai Basong, Tutong.

Melihat sambutan yang sangat menggalakkan, Haji Adnan melahirkan harapan agar program ini akan diteruskan lagi dari semasa ke semasa bagi mendokong usaha kerajaan dalam membantu rakyat dan penduduk di negara ini yang kurang berkemampuan.

 

ARTIKEL YANG SAMA