Program Trajektori Kerjaya bantu pelatih PBB

BANDAR SERI BEGAWAN – Dalam mengenalpasti bidang kerjaya yang bersesuaian dengan kemahiran dan kompetensi para pelatih, Pusat Pembangunan Belia (PPB) baru-baru ini mengadakan Program Trajektori Kerjaya PBB 2017 bertempat di Dewan Bina Diri, pusat berkenaan.

Taklimat dan sesi kongsisama itu telah dihadiri oleh 81 orang pelatih PPB (sesi Januari 2017). Turut hadir di dalam program itu ialah wakil-wakil daripada IBTE, Laksamana College, Kemuda Institute dan Cosmopolitan College of Commerce & Technology.

Diantara pengisian taklimat yang diadakan adalah mengenai pengenalan kursus-kursus kemahiran yang mempunyai pasaran pekerjaan di dalam industri di Negara Brunei Darussalam serta aktiviti-aktiviti belia yang menjurus ke arah bidang komuniti, sukan dan juga peluang-peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat antarabangsa.

Program ini akan dilaksanakan secara on-going iaitu pada tarikh-tarikh yang sudah ditetapkan mengikut tiga bidang yang sudah dikenal pasti. Manakala format program adalah secara taklimat dan sesi kongsisama bersama agensi-agensi yang berkaitan, lawatan ke institusi-institusi latihan serta pengajian tinggi (kerajaan dan swasta), sesi mentorship bersama usahawan tempatan dan sebagainya.

Gambar ramai pelatih Pusat Pembangunan Belia (PPB) dan wakil-wakil yang terlibat semasa Program Trajektori Kerjaya Pusat Pembangunan Belia (PPB) 2017.
Gambar ramai pelatih Pusat Pembangunan Belia (PPB) dan wakil-wakil yang terlibat semasa Program Trajektori Kerjaya Pusat Pembangunan Belia (PPB) 2017.
Antara aktiviti semasa program tersebut dijalankan.
Antara aktiviti semasa program tersebut dijalankan.

Program Trajektori Kerjaya PBB 2017 ini adalah sebuah program yang dapat memberi pilihan bagi para pelatih PPB yang masih berkursus khasnya samaada untuk menyambung pelajaran ke institut pengajian tinggi kerajaan atau swasta, berkecimpung di dalam bidang keusahawanan; atau meneroka alam pekerjaan melalui Program Penempatan Kerja khususnya di sektor swasta.

Manakala antara objektif program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan peluang kepada para pelatih untuk memilih bidang kerjaya yang menjurus kepada minat serta kebolehan. Dan juga bagi membantu para pelatih untuk menilai kompetensi diri dalam membentuk dua impak selari iaitu profesionalisme belia serta kemahiran dan kemampuan daya fikir.

Secara ringkas, Program Trajektori Kerjaya PPB 2017 adalah satu lagi inisiatif pihak PPB untuk mempelbagaikan kaedah berdikari dan terkini bagi para pelatih samaada di dalam bidang pekerjaan, keusahawanan mahupun pelajaran.

Selaras dengan Wawasan Negara 2035 iaitu untuk meningkatkan kompetensi diri di dalam bidang kemahiran, Pusat Pembangunan Belia berharap agar para pelatih PPB akan dapat membentuk profesionalisme belia berteraskan kemahiran dalam bidang yang diminati dan sekaligus membantu negara dalam usaha mengurangkan masalah pengangguran di kalangan para belia.