Progresif buka cawangan kedai baru

Progresif buka cawangan kedai baru

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 16 Sept – Dengan matlamat untuk memberikan perkhidmatan yang boleh dipercayai, mudah dan boleh diakses dari mana-mana pelosok negara, Syarikat Progresif Sdn Bhd (Progresif) hari ini membuka cawangan kedai barunya di dalam Bangunan SupaSave, Panaga, Seria.

Pembukaan kedai baru ini dilancarkan bersama oleh tetamu jemputan, Penolong Pegawai Daerah Belait Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib, Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga selaku Ketua Kampung Mumong Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Haji Dulamin, Pegawai Tugas-tugas Khas Daerah Kuala Belait Mohd Abdul Hadi bin Haji Syarifuddin dan Penolong Setiausaha Perbandaran Awang Dino Erzan bin Haji Aliadin disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Paul Hyde.

Semasa berucap di majlis pelancaran itu, Paul Hyde mengatakan pertumbuhan luar biasa Progresif melalui pembukaan kedai-kedai di cawangan baru mencerminkan usaha berterusan syarikat itu untuk mempertingkatkan dan menambahbaikkan lagi kualiti perkhidmatannya kepada orang ramai.

Beliau juga mendedahkan bahawa Progresif juga merancang untuk melancarkan kedai baru di Kuala Belait pada Oktober depan di KB Sentral dan pengubahsuaian kedai-kedai cawangannya yang sedia ada di seluruh Brunei pada masa akan datang.

Perasmian pelancaran cawangan baru Kedai Progresif di Seria.
Perasmian pelancaran cawangan baru Kedai Progresif di Seria.
Yang Berhormat Haji Mohd Yusof diberi keterangan mengenai Progresif oleh salah seorang kakitangan pengurusan di cawangan baru di Seria.
Yang Berhormat Haji Mohd Yusof diberi keterangan mengenai Progresif oleh salah seorang kakitangan pengurusan di cawangan baru di Seria.
Di antara kakitangan tempatan Progresif di cawangan baru di Seria.
Di antara kakitangan tempatan Progresif di cawangan baru di Seria.

“Melalui strategi-strategi ini, Progresif menyasarkan peningkatan perkhidmatan dan jaringan komunikasi antara masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar yang kekurangan akses ICT,” katanya lagi.

Beliau turut menyentuh mengenai pengambilan kakitangan tempatan yang dilatih untuk menjadi pasukan jualan dan perkhidmatan pelanggan yang berkualiti tinggi dan setakat ini, cawangan baru Seria mempunyai 11 orang kakitangan tempatan. Secara keseluruhan pula, Progresif sudah pun mempunyai jumlah kakitangan tempatan sebanyak 92 peratus.

Menurutnya lagi, sempena pembukaan baru ini, Progresif menawarkan program tukar-beli bagi telefon bimbit lama bagi nilai $50 kredit untuk yang baru. Ia juga akan melancarkan promosi telefon pintar jenama Huawei Y330 dual SIM pada harga $99 sahaja.

ARTIKEL YANG SAMA