Progresif buka kedai ke-4

Progresif buka kedai ke-4

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 25 Okt – Dalam komitmen berterusannya untuk menyediakan perkhidmatan dinamik kepada para pelanggan, Syarikat Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif) telah membuka kedai kemegahan yang kedua di Daerah Belait, iaitu di Pusat Membeli-Belah KBSentral, selepas yang pertama dibuka di Seria, beberapa bulan lalu, dan merupakan yang keempat di seluruh negara.

Pelancaran kedai kemegahan ke-4 Progresif itu, kelmarin, telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Paul Hyde bersama-sama Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin yang juga selaku Ketua Kampung Mumong, Ahli Lembaga Pengarah Progresif, Awang Mozart bin Ibrahim dan Setiausaha Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Sarih Bin Tabong selaku tetamu kehormat.

Semasa ditemui selepas majlis pelancaran tersebut, Paul Hyde telah mengongsikan bahawa jumlah pelanggan Progresif telah meningkat kepada 116,000 dalam jangka masa yang singkat.

Menurut beliau, memperoleh 20 peratus bahagian pasaran sejak pelancaran Progresif awal tahun ini adalah tidak dijangkakan dan ini, katanya, menunjukkan betapa hebatnya warga pengurusan mereka terutamanya kakitangan tempatan dalam menarik pelanggan-pelanggan kepada Progresif.

Jemputan khas memotong riben di perasmian pembukaan kedai terbaru Progresif di KBSentral.
Jemputan khas memotong riben di perasmian pembukaan kedai terbaru Progresif di KBSentral.
Pelanggan-pelanggan di kaunter Progresif di kedai baru di KBSentral.
Pelanggan-pelanggan di kaunter Progresif di kedai baru di KBSentral.
Salah seorang kakitangan Progresif melayani pertanyaan dari pelanggan-pelanggan yang hadir.
Salah seorang kakitangan Progresif melayani pertanyaan dari pelanggan-pelanggan yang hadir.

“Kami percaya kami telah mencatat kemajuan baik untuk meningkatkan rangkaian teras kami dan memperbaiki liputan, tetapi fasa kami seterusnya akan membawa 30 lokasi tambahan dan peningkatan yang ketara dalam kelajuan data,” tambahnya lagi.

Sempena pelancaran ini, Progresif menawarkan promosi bagi telefon pintar baru di kedai KBSentral berkenaan, yang telah bermula kelmarin hingga penghujung November.

Para pelanggan yang membeli telefon pintar baru di sana akan menerima rebat $25 bagi pasca bayar dan tambah nilai $25 bagi pelanggan prabayar di samping aksesori percuma dan Powerbank bagi tawaran tertentu.

Promosi ini juga akan disediakan di cawangan-cawangan An-Nuha, Yayasan dan Kedai Seria bermula 30 Oktober.

Dalam perkembangan lain, awal bulan ini, Progresif juga telah mengumumkan pelancaran inovasi perkhidmatan terbaru mereka dinamakan eTopUp yang membolehkan pelanggan menambah nilai kredit serendah $1 hingga $100 tanpa memerlukan kad gores, resit dan pin.

ARTIKEL YANG SAMA