Progresif buka kedai terbaru di LTAB

Progresif buka kedai terbaru di LTAB

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif) bakal membuka kedai terbarunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dalam minggu ini, yang akan menandakan kedai konsep keenamnya sejak pelancarannya pada tahun lalu.

Terletak di dewan ketibaan, Progresif menyasarkan pelancong-pelancong antarabangsa yang tiba ke Brunei dengan menawarkan pakej-pakej SIM dengan mudah dan mampu milik.

Menurut kenyataan Progresif, kedai yang akan dibuka pada hujung minggu ini akan memenuhi keperluan pelanggan tempatan dengan menyediakan semua produk dan perkhidmatan sedia ada serta peranti-peranti.

Di samping itu, mereka juga akan memperkenalkan perkhidmatan-perkhidmatan baru yang bermatlamat untuk memperbaiki akses perkhidmatan mudah alih dan data kepada sektor pelancongan Brunei yang semakin berkembang, yang tahun lalu menyaksikan pertumbuhan besar dengan lebih daripada 218,000 orang pengunjung setahun.

Menurut Progresif, Pelan Pengunjung Progresif yang baru itu akan memberi manfaat kepada para pengunjung perniagaan dan pelancong Brunei, dengan pelan dan harga yang dipermudah.

Progresif akan membuka kedai konsep terbarunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei minggu ini.
Progresif akan membuka kedai konsep terbarunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei minggu ini.

Serupa dengan Pelan Prabayar Progresif yang dilancarkan awal tahun ini, pelan baru berkenaan merangkumi set data, panggilan tempatan dan antarabangsa dan SMS, yang menurut Progresif, sesuai bagi pengunjung jangka pendek ke Brunei.

Pengurus Komunikasi Korporat, Dayang Hafiza binti Mohamad dipetik sebagai berkata, “Progresif telah bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan bagi membantu mempromosi Brunei sebagai destinasi, untuk membangunkan perkhidmatan sasaran dan menyediakan akses mudah kepada Maklumat Pelancongan bagi membantu pengunjung mengisikan masa mereka di Brunei sekali gus merangsang sumbangan pelancongan kepada ekonomi Brunei.”

Untuk mencapai matlamat ini, Progresif telah memperkenalkan Pelan Pengunjung untuk membolehkan akses percuma kepada laman-laman sesawang pelancongan utama.

Lebih banyak yang boleh dibaca mengenai usaha pelancongan dalam isu terkini majalah Progresif yang menggariskan destinasi pelancongan tempatan dan beberapa usahawan serta pendidik tempatan yang membuka laluan bagi perkembangan masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Paul Hyde pula menambah, pembukaan kedai di lapangan terbang itu merupakan kejayaan pertama dalam peta jalan pembangunan teguh yang menumpukan kepada pelanggan bagi tahun fiskal baru, yang secara drastik akan meningkatkan kapasiti dan liputan rangkaian mereka serta secara rasmi akan menempatkan Progresif dalam laluan ke arah pelancaran 4G.

Progresif telah mengendalikan kios sementara di lapangan terbang berkenaan sementara kedai konsep tersebut dibina dan akan dilancarkan secara rasmi pada petang 14 Mei 2016 ini.

ARTIKEL YANG SAMA