Progresif buka semula cawangan Rizqun

Progresif buka semula cawangan Rizqun

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif) telah membuka semula cawangannya di Hotel Antarabangsa Rizqun, The Mall, Gadong, hari ini, setelah menjalani penambahbaikan sekali gus memberikan wajah baru yang mengikuti arus perubahan di abad ke-21 ini.

Pembukaan semula cawangan berkenaan telah dirasmikan bersama-sama oleh Ahli Lembaga Pengarah Progresif, Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adnan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Roger Plahay, Ketua Undang-undang dan Peraturan di Progresif, Dayang Nurul Haniah binti Jaafar dan pegawai-pegawai kanan Progresif.

Pembukaan semula tersebut mengubah cawangan berkenaan daripada kedai biasa menjadi sebuah pusat interaksi di mana para pelanggan dapat mengetahui lebih lanjut maklumat terkini mengenai teknologi yang ada di Progresif melihat dengan mengalaminya sendiri menerusi pertolongan kakitangan Progresif.

Ketua Pegawai Jualan Progresif, Bob Gill berucap pada majlis pembukaan semula itu juga menjelaskan bahawa mereka lebih mementingkan terhadap memberikan penyelesaian bagi memenuhi keperluan pelanggan, bukan hanya menjual telefon bimbit dan pelan.

Perasmian cawangan Progresif yang terletak di Hotel Antarabangsa Rizqun, The Mall, Gadong.
Perasmian cawangan Progresif yang terletak di Hotel Antarabangsa Rizqun, The Mall, Gadong.

Terdahulu, Roger Plahay, dalam ucapan alu-aluannya memberitahu bahawa mereka akan melaksanakan infrastruktur baru yang akan meningkatkan kualiti rangkaian dan kelajuan data secara mendadak (drastic), serta akan membuatkan rangkaian mereka berupaya dalam memberikan kelajuan 4G.

“Selain daripada rangkaian, kami juga akan menggabungkan operasi-operasi kami dan memindahkan kakitangan kami ke kemudahan baru yang mencerminkan jenama dan budaya korporat kami yang akan memberi kami satu platform untuk membantu memupuk perkembangan syarikat,” tambah beliau.

Dalam hal ini, mereka akan membantu perniagaan-perniagaan kecil dan bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi seperti Universiti Brunei Darussalam (UBD), iCentre and Darussalam Enterprise (DARE) untuk mengembangkan lagi peluang-peluang keusahawanan bagi perkembangan sektor ICT.