Progresif Cellular kembali untung

Progresif Cellular kembali untung

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Progresif Cellular mengumumkan bahawa keputusan kewangan mereka bagi tahun kewangan 2014/15 menyaksikan pemulihan menakjubkan sejak memulakan perniagaan pada Julai 2014 dengan mencatatkan keuntungan bersih yang besar pada tahun pertama operasi serta menyatakan komitmen untuk membuat pembayaran dividen pertamanya kepada Darussalam Assets.

Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Paul Hyde (gambar) dalam satu kenyataan di sini berkata; “Selepas memperoleh aset-aset B-Mobile tahun lalu, kami telah membuat komitmen untuk membina semula sebuah perniagaan yang berdaya tahan, perniagaan yang akan menjadi pemangkin perubahan, membawa pembaharuan produk dan perkhidmatan, mewujudkan peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan, dan membantu meningkatkan ekonomi Brunei.

“Dan sepanjang tempoh tahun lalu tanpa mengenal penat lelah, kami berusaha melakukannya dengan membangunkan jenama yang memberikan inspirasi yang melibatkan para pelanggan kami dan juga masyarakat, membentuk pengalaman jualan pelanggan kelas dunia dan membuat peningkatan berterusan yang drastik pada kualiti dan liputan rangkaian kami.”

Menurut beliau, dalam tempoh tersebut, Progresif telah melaporkan beberapa peristiwa penting yang menurut mereka telah menyumbang secara signifikan kepada kejayaannya sehingga kini.

Ia termasuklah penstabilan dan penaikan taraf berterusan infrastruktur rangkaian mereka serta penambahan lebih 19 tapak sel baru, dan juga penyusunan semula secara menyeluruh pelan penetapan harga dan pakej yang telah mengekalkan ekuiti pasaran – strategi kompetitif, yang menurut Hyde, “telah menambah saiz pasaran telefon bimbit Brunei dengan 10% pelanggan Progresif sebagai pengguna telefon bimbit pertama, sambil mengekalkan daya maju ekonomi ketiga-tiga pengendali telekomunikasi yang berusaha memberikan nilai dalam pasaran kecil.”

pg08_151201_a

Progresif telah mewujudkan lebih 100 pekerjaan bagi anak tempatan, sementara menyediakan lebih 5,000 jam latihan kepada kakitangan warga Brunei. Dalam tahun perniagaan tersebut, ia telah melancarkan empat kedai baru, dan sehingga kini mencapai lebih 115,000 pelanggan aktif.

Terbaru, Progresif telah membuat komitmen untuk melabur semula ke dalam masyarakat menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memfokuskan kepada pendidikan, keusahawanan dan persekitaran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Progresif Devin Edwards pula menyatakan; “Segala yang kami lakukan mempunyai matlamat utama yang memberi manfaat kepada pelanggan kami, masyarakat dan juga stakeholder.

“Atas naungan yang diberikan oleh stakeholder Darussalam Assets dan pengawasan mereka ke atas perniagaan kepentingan kebangsaan, Progresif telah berjaya begitu cepat.”

Mengulas lanjut, Hyde berkata, tahun pertama mereka adalah lebih kepada usaha menyelamatkan perniagaan yang gagal serta membina asas kukuh untuk membolehkannya berkembang.

“Ini memerlukan sandaran, pelan perniagaan yang mengutamakan nilai. Strategi pelaburan beransur-ansur kami dan peningkatan kualiti perkhidmatan telah mewujudkan sokongan ketara pelanggan dan memberikan keuntungan kepada kami kepada.

“Tahun kewangan semasa akan sangat berbeza ketika kami mengalihkan tumpuan daripada menstabilkan perniagaan, ke arah melabur dalam inovasi yang perlu untuk melancarkan produk baru dan juga perkhidmatan untuk memenuhi keperluan perhubungan yang belum dipenuhi di Brunei.

“Namun begitu, ia akan sekali lagi dijana oleh pelaburan bijak dan pengurusan petunjuk-petunjuk pasaran untuk memastikan landskap yang kompetitif dalam kemajuan Brunei yang berdaya tahan,” kata Hyde.

Progresif telah mengeluarkan brosur 36 muka surat yang menyatakan tentang kemajuannya sehingga kini dengan menekankan perkembangan berterusannya, dengan meraikan penglibatannya dalam masyarakat dan meminta para pelanggan menjadi sebahagian proses kemajuannya. Naskhah brosur berkenaan boleh diperolehi di kesemua kedai progresif.

ARTIKEL YANG SAMA