Progresif mohon lancarkan 4G LTE

Progresif mohon lancarkan 4G LTE

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif) telah mengumumkan rancangannya untuk melancarkan perkhidmatan 4G LTE di Brunei seawal-awalnya pada pertengahan 2016 ini.

Progresif dalam kenyataannya, hari ini, mengesahkan bahawa telah menghantar surat permohonan kepada Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) pada 21 Januari lalu, yang menyatakan niat mereka untuk melancarkan perkhidmatan 4G LTE ke seluruh Brunei.

Kenyataan juga mengesahkan bahawa surat berkenaan diterima baik, menyatakan bahawa AITI telah mengalu-alukan permohonan itu sebagai penyelesaian yang akan memainkan peranan dalam memancarkan jalur lebar ke seluruh negara, sebagai komponen wawasan 2035 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melihat Brunei yang saling berhubung.

Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Paul Hyde (gambar) dalam kenyataannya berkata; “Apabila melancarkan Progresif tahun lalu, kami membuat komitmen untuk membangunkan semula rangkaian, daripada tinggalan perniagaan B-Mobile yang akan membolehkan perkhidmatan peringkat global direalisasikan di Brunei, bagi mewujudkan masyarakat yang saling berhubung dan ekonomi yang dipacu inovasi.”

Menurutnya lagi, Progresif juga telah menyatakan bahawa dua gelombang pertama penambahbaikan rangkaian akan memastikan kos rendah, laluan mudah kepada 4G, yang akan menjimatkan beberapa juta dolar bagi kerajaan Brunei dalam kos pelaburan, apabila dibandingkan dengan pelancaran 4G yang lebih tradisional.

pg02_160204_a

“Komitmen kami dalam hal ini telah dipenuhi dan sistem teras dan stesen-stesen pangkalan kami kini semuanya berkeupayaan 4G.

“Sementara kami mempunyai beberapa kerja tatarajah untuk disiapkan, kami bersedia untuk membolehkan perkhidmatan 4G dengan hanya mengetik suis dan dengan pelaburan lanjut yang minimum,” tegas beliau.

Progresif juga telah mengongsikan pelan untuk mengembangkan rangkaian mereka untuk merangkumi 82 stesen pangkalan tambahan di keempat-empat daerah, yang direka untuk mengurangkan kesesakan, meningkatkan kelajuan dan memperbaiki lagi liputan di kawasan-kawasan terpencil di Brunei.

Hyde turut berterima kasih kepada para pelanggan setia mereka yang telah mendapat faedah daripada penambahbaikan prestasi rangkaian dan liputan tambahan sepanjang 12 bulan kebelakangan, tatkala mereka membangunkan semula rangkaian mereka dan kepada mereka yang menyertai Progresif dalam tempoh itu.

“Kami boleh memberi jaminan kepada para pelanggan berkenaan dan semua pengguna Internet di Brunei bahawa penghujung semakin menghampiri dan kami sebagai sebuah syarikat teruja dengan prospek melancarkan rangkaian 4G kedua Brunei, serta peningkatan liputan sebanyak 25 peratus tahun ini.

“Kepantasan pemancaran telah dibantu dengan kerjasama daripada kerajaan dan sektor swasta yang membolehkan Progresif mempercepatkan pemancaran dengan menggunakan infrastruktur sedia ada.”

Beliau menambah, “Atas kerjasama daripada pemegang-pemegang saham kami dan rakan-rakan, kami telah mengelakkan berbelanja lebih daripada $2,000,000 untuk membina menara-menara tambahan dan mengurangkan masa pemancaran sebanyak 12 bulan.”

ARTIKEL YANG SAMA