Progresif rancang pindah ke ibu pejabat baru

Progresif rancang pindah ke ibu pejabat baru

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Feb – Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif) mengumumkan rancangan untuk berpindah ke ibu pejabat korporat baru mereka yang terletak berdekatan       dengan kawasan komersial Kiulap,   Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan Pasar Gadong.

Ibu pejabat baru itu telah direka untuk menggabungkan operasi-operasi bagi mewujudkan tempat kerja yang lebih efisien dan kreatif, selaras dengan budaya jenama Progresif, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut hari ini.

Kemudahan itu juga dihasratkan untuk menjadi pusat bagi pembangunan teknologi selaras dengan strategi komersial mereka untuk melancarkan rangkaian 4G LTE baru dan penyelesaian perusahaan termasuk teknologi negara pintar dan sebuah pusat data komersial.

Menurut kenyataan itu lagi, apabila pengubahsuaian selesai, bangunan itu nanti akan menempatkan pejabat-pejabat korporat Progresif, kemudahan-kemudahan latihan dan pembangunan, kedai kemegahan runcit, pusat data komersial, bilik pameran penyelesaian perusahaan untuk dibangunkan secara bersama dengan Huawei dan sebuah ‘Makmal Inkubasi Teknologi’.

Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Paul Hyde, berkata, kadar pertumbuhan perniagaan dan penghasilan lebih daripada 100 pekerjaan baru, memerlukan pemindahan ke bangunan baru yang dibina bagi tujuan dan menyokong strategi-strategi komersial dan tanggungjawab sosial korporat syarikat itu.

Bangunan ibu pejabat Progresif yang baru, terletak berdekatan dengan kawasan komersial Kiulap,  Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan Pasar Gadong.
Bangunan ibu pejabat Progresif yang baru, terletak berdekatan dengan kawasan komersial Kiulap, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan Pasar Gadong.

Menurut beliau, pembangunan Makmal Inkubasi Progresif adalah contoh terbaik komitmen mereka kepada pembangunan industri ICT dan tumpuan mereka ke atas pemindahan pengetahuan dan pembangunan kemahiran.

Makmal itu direka untuk menjadi sebahagian daripada usaha jangkauan (outreach) yang bermatlamat membantu institusi-institusi pendidikan, usahawan-usahawan, perniagaan-perniagaan kecil dan para penyelidik dengan inisiatif-inisiatif berkaitan ICT, IOT serta ‘Big Data’.

Ketua IT Progresif, Awang Azuan Ahmad pula berkata, “matlamat utama makmal itu adalah untuk membantu pembangunan berkaitan R&D kepada sektor ICT yang boleh digunakan sebagai pemacu merangsang   inovasi dan ekonomi bagi ekonomi Brunei.

Progresif mendedahkan bahawa mereka merancang untuk berpindah ke bangunan seluas 55,000 kaki persegi itu menjelang Julai depan, selepas pengubahsuaian komprehensif ke atas bangunan berkenaan.

Menurut Progresif lagi, mereka telah bekerjasama dengan Eco Bumi Arkitek dan HIAS Interior Design bagi konsep dan reka bentuk dalaman ibu pejabat mereka itu nanti.

Eco Bumi Arkitek dan HIAS Interior Design telah terlibat dengan Progresif sejak pembukaan kedai kemegahan pertama mereka di Tanjung Bunut pada April tahun lalu dan terus terlibat dalam reka bentuk kedai kemegahan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA