Progresif, UBD meterai MoU

Progresif, UBD meterai MoU

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Pendidikan dan keusahawanan amat penting bagi perkembangan inovasi dan merupakan asas kepada perniagaan serta jenama, Progresif Cellular (Progresif).

Sehubungan itu, Progresif amat cenderung bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi dalam mendidik dan memberikan peluang kepada usahawan muda serta penuntut untuk meneroka, mengembangkan serta menceburi bukan sahaja sektor keusahawanan tetapi untuk membangunkan industri ICT Brunei.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Pemasaran, Progresif Cellular, Devin Edwards dalam temu bual bersama Media Permata selepas Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Progresif dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Galeri, Pejabat Penyelidikan dan Inovasi, Bangunan Sains Berintegrasi, UBD, hari ini.

Devin berkata menerusi MoU itu, Progresif bukan sahaja akan membantu untuk mengembangkan dan berkongsi kepakaran dengan para penuntut UBD tetapi juga membantu memberikan peluang kepada usahawan muda membangunkan dan menggunakan produk ICT yang dibangunkan mereka dengan memelihara hak milik intelektual mereka serta akan menjadi klien kepada perisian atau aplikasi yang dihasilkan bukan sahaja bagi pasaran tempatan tetapi juga luar negara.

Di samping itu, menerusi kerjasama dengan UBD, Devin berkata ia memberikan peluang bagi Progresif untuk memainkan peranan membangunkan dan mengilap bakat-bakat baru dalam bidang ICT bukan sahaja menerusi pakar-pakar dalam Progresif tetapi juga pakar daripada rakan perniagaan Progresif supaya akan menambah jumlah penggiat industri ICT tempatan yang berkemahiran serta mampu untuk memberi sumbangan kepada pembangunan industri ICT negara.

Devin Edwards (tiga, kiri) dan Profesor Madya Dr. Mohd Ayub Sadiq (dua, kanan) bertukar-tukar dokumen sambil disaksikan oleh Profesor David Koh (kanan), Dayang Normah Ahmad dan Radi El Fassed (kiri).
Devin Edwards (tiga, kiri) dan Profesor Madya Dr. Mohd Ayub Sadiq (dua, kanan) bertukar-tukar dokumen sambil disaksikan oleh Profesor David Koh (kanan), Dayang Normah Ahmad dan Radi El Fassed (kiri).

Terdahulu, MoU ditandatangani oleh Devin Edwards dan Ketua Pembangunan Produk, Radi El Fassed bagi pihak Progresif dan menandatangani bagi UBD ialah Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik), Profesor Madya Dr. Mohd Ayub Sadiq dan Penolong Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor David Koh.

Turut hadir semasa penandatanganan itu ialah Pengurus Perhubungan Kerajaan, Progresif, Dayang Normah Ahmad serta pegawai-pegawai kanan UBD.

Ketika mengulas mengenai penandatanganan MoU itu, Profesor David Koh berkata melalui kerjasama itu, ia memberikan peluang kepada pihak universiti untuk bukan sahaja melaksanakan penyelidikan bagi menghasilkan laporan semata-mata tetapi bagi memberikan sumbangan kepada aplikasi penyelidikan yang dijalankan kepada dunia sebenar atau pihak industri.

Di samping itu, kerjasama itu turut membuka ruang kepada penuntut-penuntut UBD menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui program penempatan supaya mereka mengenali serta menyaksikan sendiri aplikasi ilmu pengetahuan yang mereka peroleh bagi menyelesaikan masalah dunia sebenar dan juga pendedahan kepada alam pekerjaan.

MoU itu bermatlamat untuk menubuhkan hubungan strategik di antara Progresif dan UBD bagi menjana kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, inovasi, penyelidikan dan pembangunan.

Menurut Progresif, beberapa projek sedang dalam perbincangan yang menumpukan pada peringkat permulaan kepada Tahun Discovery dan program penempatan yang melibatkan penuntut-penuntut UBD yang merangkumi kegiatan mengkomersialkan dan inovasi dalam teknologi, ciptaan dan paten dari UBD.

Menurut Progresif lagi, sebagai sebahagian daripada perkembangan program yang dilaksanakan bersama UBD itu, Progresif dalam proses untuk membangunkan Makmal Start-Up atau inkubator di ibu pejabat korporat barunya yang akan dimasukkan ke dalam fasa baru program berkenaan untuk membantu merangsang keusahawanan dan mempelbagaikan ekonomi negara.

Di samping itu, sebagai sebahagian daripada inkubator bagi penuntut UBD, mereka akan diberikan akses kepada ruang kerja dan Program Makmal Start-Up serta dapat bekerja dengan pakar-pakar dalam industri teknologi maklumat dan telekomunikasi.

ARTIKEL YANG SAMA