Projek 1 Baju 1 Senyuman dapat sambutan

Projek 1 Baju 1 Senyuman dapat sambutan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Sejak dilancarkan pada awal April lalu, Projek Amal 1 Baju 1 Senyuman terus mendapat perhatian yang menggalakkan daripada orang awam.

Baru-baru ini, projek berkenaan telah menerima tajaan berupa 23 kayu kain yang didermakan oleh Syarikat Haji Idris Kalong Sdn Bhd (SHIKA) bagi menjalankan projek tersebut.

Derma telah disampaikan pada majlis yang diadakan di Syarikat Al Bukhari Textile, Delima Jaya, oleh Pengarah SHIKA, Dayang Sufina binti Dr. Haji Jumat kepada Pengasas Battle Pro Group, Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah, selaku penganjur bersama program amal yang diadakan pada April yang lalu.

Sebanyak 579 pasang baju telah berjaya didermakan untuk anak yatim melalui projek amal yang pertama iaitu pada 4 hingga 7 April  dan 268 pasang baju melalui projek amal kedua, iaitu semasa Karnival Kembara Islam 1437H.

Walau bagaimanapun, menurut Haji Syed Mohd Yassin, jumlah derma wakaf kain tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan tempahan.

Majlis penyerahan derma SHIKA yang diadakan di Syarikat Al Bukhari Textile, Delima Jaya.
Majlis penyerahan derma SHIKA yang diadakan di Syarikat Al Bukhari Textile, Delima Jaya.

“Alhamdulillah, masih ada yang ingin menderma untuk projek amal ini, jadi kami cadangkan untuk wang derma tersebut dibelikan kain untuk menampung projek ini.

“Semoga berkat derma tersebut, syarikat SHIKA akan diperluaskan rezeki dan dipermudahkan segala urusan,” beliau menyampaikan penghargaannya.

ARTIKEL YANG SAMA