Projek Amal Yayasan ke Mukim Labi

Projek Amal Yayasan ke Mukim Labi

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 30 Jun – Projek Amal Sempena Ramadan yang dikendalikan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) meneruskan lagi pengagihan derma kepada keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan di Daerah Belait setelah memulakannya di Daerah Tutong sebelum bulan Ramadan yang lalu.

Rombongan konvoi sebanyak 12 buah kereta ini diketuai oleh Pengarah Lembaga Yayasan iaitu Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi Bin Haji Osman, diiringi sama Pengarah Urusannya, Haji Brahim bin Haji Ismail serta pegawai dan kakitangan Yayasan.

Konvoi ini juga turut disertai Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam yang menyediakan pengangkutan dengan kerjasama dari Jabatan Daerah Belait yang membuat kaji selidik untuk mengenal pasti penerima-penerima sumbangan derma tersebut, rombongan Unit Dakwah Daerah Belait serta para sukarelawan dari Yayasan sendiri.

Ahli-ahli jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung Labi 1 dan 2 juga tidak ketinggalan turut memainkan peranan mereka dalam membantu keluarga-keluarga yang berkenaan.

Kunjungan kali ini melibatkan 27 buah keluarga di beberapa buah kampung di Mukim Labi yang kurang berkemampuan dan penyerahan beberapa barang-barang keperluan asasi dan makanan.

Dayang Siti Fatimah binti Abdullah Layang ketika menerima bantuan di rumah beliau di Kampung Mendaran Kecil, Mukim Labi.
Dayang Siti Fatimah binti Abdullah Layang ketika menerima bantuan di rumah beliau di Kampung Mendaran Kecil, Mukim Labi.
Dayang Siti Fatimah binti Abdullah Ancap menerima sumbangan derma beras daripada Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
Dayang Siti Fatimah binti Abdullah Ancap menerima sumbangan derma beras daripada Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.

“Lawatan ini adalah lanjutan daripada kunjungan ke Daerah Tutong dan Yayasan berkesempatan melawat sekitar kampung-kampung di Mukim Labi untuk meninjau keadaan para penduduknya yang tinggal di sini.

“Selain itu, Yayasan juga ingin memainkan peranan dalam membantu keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan dengan menghulurkan sedikit bantuan derma seperti barang-barang keperluan asasi dan barang-barang makanan,” jelas Pengarah Lembaga Yayasan ketika ditemui.

Lawatan rombongan Yayasan berikutnya adalah ke kawasan Daerah Brunei dan Muara, dan Temburong.

ARTIKEL YANG SAMA