Projek baharu berskala besar ubah landskap Labuan

Projek baharu berskala besar ubah landskap Labuan

LABUAN, 25 Jan – Lanskap Labuan akan berubah dalam tempoh empat tahun akan datang bila enam projek pembangunan bersepadu berskala besar siap sepenuhnya.

Projek pembangunan gergasi itu dilaksanakan bersama oleh pihak berkuasa tempatan, Perbadanan Labuan Corporation (LC) dengan pemaju swasta dijadualkan dimulakan pada pertengahan tahun ini.

Ketua pegawai eksekutif LC Datuk Nadzri Osman berkata projek itu termasuk pembinaan kompleks komersial dan hotel di tapak bangunan pasar lama, kompleks perniagaan dengan hypermarket bersebelahan Labuan Market Sentral.

Menaik taraf dan membina blok baharu Hotel Aifa, kedai barang-barang berjenama di marina awam Labuan, projek ‘water park’ bersebelahan Hotel Tiara dan ‘waterfront esplanade’ dekat kawasan jeti perikanan.

“Pembangunan bersepadu ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat di sini.

“Ia siap sedia untuk mengubah landskap pembangunan di pulau bebas cukai ini,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan acara-acara utama Hari Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau juga mengumumkan peruntukan RM200 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11 bagi pembinaan terminal feri ro-ro baharu yang dijangka siap dalam masa dua tahun.

Terminal itu akan dapat mengatasi kesibukan aliran feri ketika ini, katanya.

Nadzri berkata projek yang akan dibina di kawasan antara Tanjung Aru dan Kerupang yang akan bermula tahun hadapan melibatkan kerja penambakan laut.

Sementara itu, katanya, projek medan makan bernilai RM12 juta mengandungi 50 kiosk di Jalan Tg Purun kini hampir siap.

“Berikutan itu tapak Medan Selera lama di sini akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan projek dewan konvensyen dilaksanakan bersama pihak Dorsett Grand Hotel,” kata Nadzri. – Bernama