Projek berkeutamaan diberi penekanan

Projek berkeutamaan diberi penekanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, telah mengadakan sesi muzakarah bersama beberapa orang ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Bertabur, kementerian itu.

Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan, sesi berkenaan telah dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah, manakala itu rombongan ahli-ahli MMN telah diketuai oleh Yang Berhormat Haji Jumat bin Akim.

Menteri Pembangunan dalam ucapannya telah mengongsikan mengenai keperluan dan usaha-usaha yang telah giat dijalankan bagi meneliti semula atau mengkaji semula pendekatan, dasar dan peraturan-peraturan tertentu bagi perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan mengambil kira cabaran-cabaran ekonomi semasa.

Antara matlamat utama usaha-usaha tersebut adalah bagi mengawal perbelanjaan kerajaan dengan memastikan perbelanjaan lebih berhemah.

Menteri Pembangunan (tengah-depan) semasa mempengerusikan muzakarah itu.
Menteri Pembangunan (tengah-depan) semasa mempengerusikan muzakarah itu.

p03-2_20160122

Namun begitu, tambah beliau, kementeriannya tetap akan memberi penekanan kepada pemberian perkhidmatan terbaik dan akan terus berusaha memastikan pelaksanaan program-program dan projek yang berkeutamaan supaya tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini.

Kementerian mempunyai matlamat untuk mewujudkan persekitaran yang pro perniagaan sesuai dengan usaha kerajaan untuk lebih memudahkan para pelabur memulakan dan menjalankan perniagaan di negara ini, ujar beliau lagi.

Sesi muzakarah berkenaan turut mendengarkan taklimat bertema ‘Kementerian Pembangunan – Ke arah Mendukung Pertumbuhan Ekonomi Negara’ yang telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Pembangunan.

Taklimat tersebut menekankan empat faktor utama yang terpenting untuk mendukung pertumbuhan ekonomi negara iaitu perancangan guna-tanah yang teratur, perundangan yang mantap, penambahbaikan secara berterusan proses dan prosedur sedia ada serta pelaksanaan projek-projek berkepentingan.

Sementara itu, Yang Berhormat Haji Jumat dalam ucapan balasnya menyatakan bahawa sesi perbincangan itu amat produktif, kondusif dan bermanfaat di mana maklumat-maklumat yang dikongsikan termasuk status terkini projek-projek dan inisiatif Kementerian Pembangunan amat mereka hargai.

Turut hadir semasa sesi muzakarah itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar, Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny, Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Marzuke bin Haji Mohsin, ketua-ketua jabatan dan divisyen/unit serta para pegawai kanan di bawah Kementerian Pembangunan.

ARTIKEL YANG SAMA