Projek DOA dapat sambutan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 12 Feb – Projek Day Of Action (DOA) yang dikelolakan oleh Persatuan Belia Belait (PEMBELA) bagi Daerah Belait, berakhir hari ini dan telah mendapat sambutan daripada orang ramai khususnya masyarakat di sini.

Projek tersebut telah membukakan penerimaan sumbangan bagi membantu mangsa-mangsa banjir khususnya kawasan pedalaman daerah ini, sejak 10 Februari lalu di Dewan Mini Pusat Belia Belait.

Yang Di-Pertua Persatuan PEMBELA, Dayang Atikah Rumaizah binti Dr Haji Harun memberitahu, DOA adalah projek bagi membantu mangsa banjir di Daerah Belait dan bagi daerah ini persatuan mereka telah diberikan kepercayaan selaku salah sebuah organisasi yang menyokong pergerakan sukarelawan di negara ini.

Menurutnya, sasaran bantuan akan dihulurkan kepada keluarga mangsa banjir khususnya di kawasan Mukim Labi dan Mukim Sukang yang terjejas dan melalui projek tersebut telah berjaya mengumpulkan barang-barang keperluan seperti beras, makanan kering, minuman dan sebagainya.

Beliau juga memberitahu bahawa Projek DOA bagi daerah ini adalah kolaborasi Persatuan PEMBELA bersama Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Belait yang telah menyediakan tempat, selain turut disokong sama oleh Kumpulan Bina Ukhwah, kumpulan sukarelawan yang telah mengelolakan projek tersebut di kawasan Daerah Brunei dan Muara.

Ahli-ahli Persatuan PEMBELA yang membantu mencatat barangan sumbangan yang dihantar ke Dewan Mini Pusat Belia Belait.

“Hampir 20 orang termasuk kalangan ahli-ahli Persatuan PEMBELA telah terlibat bertugas menerima dan mencatat setiap barangan sumbangan yang dihantar sejak Sabtu lalu, sementara itu bagi kerja-kerja penghantarannya nanti, pada masa ini sedang dalam pengurusan dengan memohon bantuan daripada Batalion Ketiga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Persatuan Pacuan Empat Roda,” katanya.

Projek DOA telah dilancarkan pada tahun lepas sebagai pelantar kepada badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggabungkan kerjasama dalam melaksanakan bantuan segera kepada masyarakat yang memerlukan seperti mangsa-mangsa banjir.

Tugasan DOA adalah untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang memerlukan bantuan dan antara NGO yang terlibat setakat ini adalah Kumpulan Bina Ukhwah, Persatuan Ilham, Persatuan Pembangunan Ihsan (KESAN) dan Persatuan PEMBELA.