Projek feri bakal jadi kenyataan

Projek feri bakal jadi kenyataan

LABUAN, 13 Jan (Bernama) – Projek pelebaran tanjakan pendaratan feri di Jeti Menumbok di sini yang bakal dimulakan Jun ini dijangka menambah baik jadual perjalanan keluar masuk feri ke pulau bebas cukai Labuan.

Projek dianggarkan bernilai RM2 juta itu akan dilaksanakan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

Pengarahnya, Kapten Abel Ongkunik memberitahu Bernama apabila siap kelak, tanjakan baharu itu mampu mendaratkan dua buah feri pada satu-satu masa.

Ketika ini, tanjakan pendaratan berusia lebih dua dekad itu hanya membolehkan sebuah sahaja feri mendarat, malah feri berikutnya perlu mengambil sedikit masa untuk berbuat demikian.

Abel berkata buat masa ini, tiga pengusaha feri mengendalikan operasi lima feri dengan kekerapan dua perjalanan sehari dan tiga perjalanan pada waktu puncak.

“Kami mengadakan lawatan tapak untuk melakukan pemeriksaan teknikal di jeti terminal feri Menumbok minggu lepas bagi kami merangka pelan pertama projek ini. Ia juga sebagai persediaan bagi projek terminal feri baharu bernilai RM200 juta yang dicadangkan sama ada di Tg Aru atau Kerupang,” katanya.

Abel berkata projek di terminal feri Menumbok itu melibatkan pelbagai kerja teknikal termasuk kerja-kerja penambakan laut, tebatan besi dan pengorekan dasar laut.

Jabatan itu telah memulakan liputan insurans perjalanan bagi penumpang bot laju dari tanah besar Menumbok dan Sipitang ke Labuan, bagaimanapun, Perbadanan Labuan, sebagai pihak berkuasa tempatan di pulau bebas cukai ini, tidak berbuat demikian, walaupun diminta oleh penumpang.

“Projek ini dan penguatkuasaan penuh perlindungan insurans perjalanan bagi penumpang bot baru-baru ini bertujuan menambah baik perkhidmatan pengangkutan laut selain menitikberatkan aspek keselamatan,” katanya.