Projek HSR buka peluang ekonomi

Projek HSR buka peluang ekonomi

SEOUL, 8 Jun – Korea Selatan menjangka projek kereta api laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan menawarkan pelbagai faedah ekonomi kepada rakyat Malaysia dengan kaedah pengangkutan yang cepat dan cekap, dapat menjimatkan tenaga, wang dan masa penumpang.

Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutannya Kang Ho-In berkata republik itu telah menggunakan sistem berkenaan yang menghasilkan banyak perubahan ekonomi dan sosial kepada kehidupan seharian rakyat Korea Selatan.

“Oleh itu, kami berharap dipilih untuk mengendalikan dan mempromosikan teknologi kami bagi projek HSR Kuala Lumpur-Singapura sepanjang 375 kilometer yang akan dilaksanakan nanti.

“Ini mengambil kira pengalaman kami dan jarak laluan kereta api dari Seoul ke Busan yang sejauh 365 kilometer, sama dengan yang akan dibina, ” katanya kepada wartawan Malaysia yang mengikuti lawatan suai kenal ke Korea Selatan baru-baru ini.

Mengenai perkembangan Korea Selatan dengan HSR, Kang berkata kebanyakan acara antarabangsa biasanya tertumpu di kawasan metropolitan, tetapi kini turut diadakan di wilayah serantau.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) tiba di Stesen Tokyo minggu lalu untuk menaiki kereta api laju Shinkansen dari Tokyo ke Sendai. Zahid telah diberi taklimat operasi dan rangkaian rel berkelajuan tinggi (HSR) oleh East Japan Railway Company (JR East). – Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) tiba di Stesen Tokyo minggu lalu untuk menaiki kereta api laju Shinkansen dari Tokyo ke Sendai. Zahid telah diberi taklimat operasi dan rangkaian rel berkelajuan tinggi (HSR) oleh East Japan Railway Company (JR East). – Bernama

Beliau berkata kawasan untuk berulang-alik ke dan dari tempat kerja juga telah diperluaskan ke wilayah serantau dari kawasan metropolitan sedia ada di Seoul, yang membawa kepada pembangunan wilayah yang seimbang.

“HSR menawarkan kemudahan kepada orang ramai berulang-alik dengan menggunakan kereta api untuk ke tempat kerja atau menjalankan aktiviti lain.

“Malaysia juga akan mempunyai pelbagai perubahan seperti pembangunan ekonomi serantau sama dengan Korea Selatan,” katanya. Sementara itu, kerajaan Korea Selatan juga sedang mengkaji semula rancangannya untuk memindahkan secara aktif teknologi HSR yang Malaysia perlukan untuk menyenggara dan membangunkan HSR, selepas menggunakannya.

Cadangan itu dijangka dibincangkan semasa lawatan Kang ke Malaysia pada 14 Jun. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA