Projek i-Cage berpotensi di Sarawak

Projek i-Cage berpotensi di Sarawak

KUCHING, 10 Ogos – Sarawak yang kaya dengan sumber perairan laut dan air tawar dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan projek akuakultur dalam sangkar secara komersial.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan berkata penyertaan syarikat swasta melalui program Pembangunan Akuakultur Sangkar Secara Bersepadu (i-Cage) untuk memajukan sumber berkenaan mampu meletakkan Sarawak sebagai penyumbang penting pengeluaran ikan negara.

Beliau berkata i-Cage merupakan antara tiga projek permulaan (EPP) yang disenaraikan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pertanian, selain projek pembangunan rumpai laut dan pembangunan zon industri akuakultur secara bersepadu.

“Sehingga kini 28 syarikat peneraju diluluskan bagi ketiga-tiga EPP itu dengan komitmen pelaburan berjumlah RM2.46 bilion,” katanya dalam ucapan semasa seminar NKEA Akuakultur Jabatan Perikanan Malaysia 2015 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perikanan, Zulkafli Abdul Rashid. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA