Projek Inap Desa perlu diusaha

Projek Inap Desa perlu diusaha

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 14 Sept – Majlis Perundingan Kampung (MPK) di Daerah Belait digalakkan untuk membina dan melaksana projek inap desa, agar dapat menarik pelancong dari dalam dan luar negara serta mendedahkan kampung mereka kepada masyarakat ramai.

Seorang jurucakap Jabatan Daerah Belait (JDB) berkata, pihaknya sentiasa menggalakkan projek ini dengan memberikan bantuan dari sudut taklimat nasihat pakar, termasuk pengurusan pemasaran dan daripada segi teknikal.

Untuk bersaing dengan daerah lain, JDB menggalakkan MPK yang sedia ada dan mempunyai produk perekonomian mereka sendiri untuk bekerjasama menjalankan projek ini atas dasar menang-menang.

“Satu pakej pelancongan perlu dirangka dengan atur cara lawatan yang menarik dengan persembahan kebudayaan, lawatan tempat-tempat menarik, aktiviti pengunjung dan juga pameran produk perekonomian.

“Pelancong dari dalam dan luar negara, rombongan pelajar serta pengunjung boleh mengikuti pakej pelancongan ini dengan permulaan harga yang menarik dan berbaloi,” katanya kepada Media Permata.

Gambar fail menunjukkan pelajar-pelajar sekolah rendah dari Singapura menyaksikan tunjuk cara membuat kuih tradisi semasa berkunjung ke Homestay Baitul Wajihah, Kampung Wasan, Mukim Pengkalan Batu.
Gambar fail menunjukkan pelajar-pelajar sekolah rendah dari Singapura menyaksikan tunjuk cara membuat kuih tradisi semasa berkunjung ke Homestay Baitul Wajihah, Kampung Wasan, Mukim Pengkalan Batu.
Gambar fail menunjukkan pasangan dari Australia mencuba permainan tradisi Brunei, Salok-salokan yang terdapat di Baitul Wajihah.
Gambar fail menunjukkan pasangan dari Australia mencuba permainan tradisi Brunei, Salok-salokan yang terdapat di Baitul Wajihah.

Menurut beliau, ketika ini Daerah Belait mempunyai satu projek inap desa yang dikendalikan di Rumah Panjang Mendaram Besar di bawah seliaan MPK Labi II.

Rumah panjang berkenaan telah lama menjadi tempat penginapan pelancong dari dalam dan luar negara semenjak Tahun Melawat Brunei sekitar tahun 2001 terutama yang berhasrat untuk melawat Wasai Wong Kadir, salah satu wasai (air terjun) yang terkenal dengan kepelbagaian bio, keindahan flora dan fauna di negara ini.

Dengan bantuan pihak JDB juga, Rumah Panjang Mendaram Baru, giat menjalankan pelbagai promosi untuk memperkenalkan lagi tempat-tempat menarik di sekitarnya, contohnya membantu daripada segi promosi dan pemasaran pakej penginapan dengan membuat risalah.

Daripada segi pendedahan, Jawatankuasa Rumah Panjang melalui MPK Labi II juga sering kali dijemput oleh pihak jabatan untuk mengadakan jualan dan pameran di dalam dan luar negara bagi mengetengahkan lagi produk-produk kraf tangan dan pakej penginapan inap desa contohnya dalam ASEAN Regional Expo yang dijalankan di Bangkok, Thailand pada Ogos lalu.

Selain itu, pihak Jabatan juga membantu menaik taraf Rumah Panjang Mendaram Besar Homestay ini dengan penambahan bilik, penyediaan kemudahan tandas dan bantuan menggantikan dinding dan lantai yang rosak bagi keselesaan pengunjung yang menginap di rumah panjang berkenaan.

Tunjuk ajar promosi dan taklimat dari Jabatan Pelancongan dengan kerjasama daripada syarikat-syarikat agen pelancongan bagi mempromosi Rumah Panjang Mendaram juga telah banyak membantu Rumah Panjang Mendaram Besar agar lebih dikenali di dalam dan luar negara.

MPK di daerah ini boleh menjalankan projek perekonomian inap desa dengan adanya perancangan rapi dan muafakat yang jitu dan kukuh sesama ahlinya dengan cara yang bersistematik, berfasa dan mempunyai pelan perancangan jangka panjang dan sederhana.

Menurut JDB lagi, kekuatan daerah ini adalah pada kehijauan hutan tebalnya dan juga sebagai sebuah daerah industri yang merupakan tunjang utama ekonomi negara ini dengan pelantar minyak dan gas serta industri lain berkaitan yang berpotensi untuk dijadikan kunjungan atau cenderahati kenang-kenangan yang wajib dilawati sekiranya berkunjung ke negara ini.

Pakej pelancongan yang dirangka juga diharap dapat memberikan peluang pekerjaan bagi penduduk setempat, meningkatkan aktiviti perekonomian dan seterusnya meningkatkan lagi infrastruktur dan kemudahan prasarana yang terdapat di daerah ini.

ARTIKEL YANG SAMA