Projek Infaq WBC bantu 50 keluarga

Projek Infaq WBC bantu 50 keluarga

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Seramai 50 orang keluarga yang kurang bernasib baik, hari ini, telah menerima sumbangan berupa barangan makanan dan wang tunai menerusi Projek Infaq Majlis Perniagaan Wanita (WBC) yang dikendalikan oleh WBC dengan kerjasama The Body Shop.

Sumbangan-sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Yang Di-Pertua WBC, Datin Paduka Hajah Rokiah binti Haji Zakiah bersama dengan Pengurus Am The Body Shop, Dayang Zaslin binti Haji Maidin bersama ahli-ahli WBC pada majlis yang berlangsung di Dewan Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.

Datin Paduka Hajah Rokiah binti Haji Zakiah dalam ucapannya berkata, The Bodyshop telah memilih WBC sebagai rakan dalam usaha menyumbangkan barangan berupa 16 jenis makanan dan wang tunai kepada keluarga-keluarga kurang bernasib baik.

Menurutnya lagi, angka 16 juga dipilih kerana pada tahun ini WBC meraikan ulang tahunnya yang ke-16 tahun.

“Projek Infaq WBC adalah sebagai usaha meningkatkan kesedaran ahli-ahli dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan sikap bersedekah dan menolong mereka yang kurang mampu dan projek ini adalah salah satu cabang dalam bidang tugas WBC sebagai usaha mendekati masyarakat,” ujarnya.

Datin Paduka Hajah Rokiah dan Dayang Zaslin menyampaikan barangan makanan kepada para penerima.
Datin Paduka Hajah Rokiah dan Dayang Zaslin menyampaikan barangan makanan kepada para penerima.

Manakala itu, Dayang Zaslin pula menyatakan, The Body Shop merupakan sebuah syarikat yang sentiasa melihat diri lebih daripada sebuah syarikat kecantikan.

“Kami melakukan ini kerana kami percaya bahawa kecantikan bukanlah sekadar kelihatan cantik tetapi lebih daripada itu, merasa lebih puas dengan memberi baik kepada masyarakat,” ujarnya.

Pada Mei lalu, The Body Shop telah melancarkan krim tangan yang digelar krim tangan Eine Almond yang merupakan edisi khas dan dicipta oleh artis jalanan terkenal dari United Kingdom. Hasil daripada jualan krim tangan ini disalurkan kepada Projek Infaq yang dilancarkan oleh WBC.

Tindak balas daripada para pelanggan sangat positif, yang mana mereka telah berjaya mengumpulkan sebanyak $1,012.60.

Selain daripada itu, The Body Shop juga mengadakan Program ‘Berbelanja Sambil Beramal’ dari 13 hingga 19 Jun 2016 yang mana sepanjang bulan suci Ramadan, hasil daripada jualan juga disalurkan kepada projek ini dan jumlah sumbangan daripada orang ramai ialah $5,887.

“Menerusi projek ini, kami dapat menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Terima kasih kepada WBC yang turut membantu dan membimbing kami untuk mejayakan projek ini”.