Projek Jambatan Batang Igan lewat kerana pindah lokasi

Projek Jambatan Batang Igan lewat kerana pindah lokasi

KUCHING, 3 Okt – Projek pembinaan jambatan bernilai RM300 juta di Batang Igan kira-kira 450km dari sini, mengalami kelewatan selepas lokasi tapak asalnya dipindahkan ke kawasan lain yang lebih hampir dengan jeti feri Kampung Igan.

Kementerian Kerja Raya dalam kenyataan hari ini berkata Makmal Pengurusan Nilai Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri pada Julai lalu memutuskan supaya lokasi jambatan itu dipindahkan susulan permintaan penduduk setempat.

Menurut kenyataan tersebut, pemindahan itu akan mengakibatkan kelewatan kerana kerja awalan seperti ukur tanah dan ukur hidrografi, penyiasatan tanah, reka bentuk struktur jambatan dan lain-lain lagi perlu dibuat semula, yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya satu tahun.

Kerja di sungai itu tidak dapat bermula awal 2017 seperti rancangan awal, sebaliknya projek yang diluluskan EPU pada Feb 2016 selepas surat rayuan Menteri Kerja Raya pada 24 Nov lepas diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, hanya dapat bermula pada awal 2018.

Kenyataan itu menegaskan projek berkenaan tidak pernah ditangguhkan, tetapi lewat daripada jadual asal ekoran pemindahan lokasi, namun Menteri Kerja Raya sedang menyediakan surat rayuan kepada EPU untuk menimbang semula keputusan Makmal Pengurusan Nilai, supaya tidak melewatkan pelaksanaan projek tersebut. – Bernama