Projek Jambatan Labuan-Sabah dibincang Januari

Projek Jambatan Labuan-Sabah dibincang Januari

LABUAN, 10 Nov – Perbincangan menyeluruh berkaitan kemungkinan projek pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan ke tanah besar Sabah dijadualkan diadakan pada Januari depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata kerajaan Sabah menyokong agar projek yang dicadangkan itu dimulakan.

Katanya, cadangan pembinaan projek itu akan dimasukkan ke dalam agenda utama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Perkongsian Awam-Swasta, dan menambah, beliau akan bertemu perdana menteri untuk membincangkan perkara itu.

“Cadangan ini (jambatan) bukanlah baharu tetapi telah lama dicadangkan. Saya fikir masanya sudah tiba untuk kita melihat sama ada projek ini berdaya maju dan meneruskan usaha kita untuk membuat keputusan berkaitan pembinaan jambatan itu.

“Saya telah dimaklumkan oleh Anggota Parlimen Labuan bahawa kerajaan Sabah amat berminat dengan projek yang dicadangkan itu,” kata Abdul Rahman pada sidang akhbar selepas melancarkan Persidangan Perniagaan Asia di sini hari ini.

Rahman berkata berdasarkan keadaan ekonomi semasa, projek itu boleh dilaksanakan menerusi perkongsian awam-swasta. “Sekiranya projek itu dilaksanakan oleh kerajaan semata-mata,

ia mungkin tidak berdaya maju berdasarkan keadaan semasa.

“Apa yang kami nyatakan ini adalah tentang situasi menang-menang, kerjasama antara sektor awam dan swasta, dan ia akan mempunyai formula perniagaan,” katanya.

Rahman berkata EPU masih menunggu rangka tindakan yang memperincikan model perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan, Labuan Corporation, berkaitan projek yang dicadangkan itu.

Beliau berkata EPU menerima sejumlah cadangan projek daripada beberapa pihak namun menegaskan cadangan itu tidak berdaya maju atau terlalu bergantung kepada pembiayaan kerajaan. – Bernama