Projek Jambatan Temburong lancar

Projek Jambatan Temburong lancar

Oleh Hakiim Yakof & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 3 Ogos – Kerja-kerja pembinaan projek Jambatan dari Brunei dan Muara ke Temburong akan dimulakan dengan segera setelah nama kontraktor utama bagi projek tersebut diumumkan tidak lama lagi untuk menjalankan kerja utama pelan induk projek berkenaan.

Menteri Pembangunan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman berkata, projek tersebut berjalan seperti yang dirancang dan dijangka siap penghujung 2018.

Bercakap kepada pemberita di Majlis Hari Raya Aidilfitri bersama Cawangan Jabatan-jabatan dibawah kementerian berkenaan di Temburong hari ini, beliau berkata, projek Jambatan Temburong dibahagikan kepada beberapa pakej dimana pakej kedua CC2 telah ditawarkan kepada syarikat Daelim Swee JV dan mereka telah pun melaksanakan persediaan awal bagi memulakan kerja pembinaan.

“Pakej CC2 sedang berjalan dan tender bagi Pakej CC3 dan CC4 akan diumumkan dalam sedikit masa lagi.

“Apabila diumumkan nanti, maka pakej CC2, CC3 dan CC4 akan berjalan hampir serentak bagi mengelak sebarang gangguan dalam menyiapkan projek mega itu nanti,” jelas beliau.

pg04_150804_d

Mengenai pengurangan bilangan pegawai dan kakitangan di Jabatan Daerah Temburong daripada 212 pada 2014 kepada 206 masa kini, Yang Berhormat Pehin berkata, pengurangan itu tidak menjejaskan aliran kerja Jabatan Kerja Raya di Temburong.

Meskipun jumlah kakitangan berkurangan namun tugas mereka tetap dilaksanakan seperti biasa.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1436H,2015 bersama warga cawangan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan di Daerah Temburong yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Bokok, RPN Kampung Rataie di sini, hari ini berlangsung dengan penuh syukur dan muhibah yang bercirikan hubungan setiakawan tersebut.

pg04_150804_e

pg04_150804_f

Pada majlis itu Yang Berhormat Pehin turut menyampaikan sumbangan derma kepada dua orang kakitangan jabatan di bawah Kementerian Pembangunan yang kurang berkemampuan. Mereka ialah Dayang Noorizan binti Mohd Kunal, dari Bahagian Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya dan Dayang Lipah binti Hassan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi Daerah Temburong.

Sejurus sebelum menikmati juadah segar rendang payau dan nasi upih udang galah, Yang Berhormat Pehin berserta rombongan terdiri daripada Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Haji Muhammad Lufti bin Abdullah; Timbalan Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Chua Pheng Keong, beramah mesra bersama para pegawai dan kakitangan dari cawangan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan yang ada di daerah ini antaranya Jabatan Kerja Raya, Jabatan Ukur, Jabatan Tanah, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Jabatan Kemajuan Perumahan dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Majlis sedemikian merupakan aktiviti tahunan Kementerian Pembangunan bersempena Hari Raya Aidilfitri bagi menyemai rasa tanggungjawab serta mengeratkan lagi silaturahim di antara mereka selain sebagai tanda pemedulian terhadap warga kementerian berkenaan yang memerlukan.

ARTIKEL YANG SAMA