Projek kereta api laju bermula 2017

Projek kereta api laju bermula 2017

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) – Projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Malaysia dan Singapura dijangka bermula dalam 2017 dan dijangka siap pada 2022.

Ketua Pegawai Pembangunan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Dr Prodyutt Dutt, berkata projek itu akan mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan dan kontrak sepatutnya keluar pada 2017.

“Kami juga perlu berunding dengan kerajaan Singapura dan bersama-sama membuat keputusan mengenai kesediaannya (kontrak),” katanya kepada pemberita semasa acara Rail Business Asia 2015, edisi ketiga di sini Rabu.

Dutt berkata pemberian kontrak itu akan dibuat secara tender terbuka dan kos projek boleh dianggarkan secara kasar selepas tender disiapkan.

“Berdasarkan kajian, projek HSR akan mempunyai pulangan yang positif ke atas sosio-ekonomi negara serta memberi manfaat kepada bandar-bandar terminal termasuk menjana semula pembangunan bandar di antaranya.

“Jika anda melihat Jepun, China atau Perancis, anda akan melihat senario yang sama. Projek itu juga tidak bertindih dengan projek landasan berkembar Utara-Selatan kerana ia akan menggunakan mod yang berlainan serta memenuhi keperluan pasaran yang berbeza,” katanya Cadangan projek HSR yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum ini dijangka siap pada tahun 2020.

Projek HSR Link, yang disenaraikan di bawah Program Transformasi Ekonomi, akan dipertanggungjawabkan kepada MyHSR Corp Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat penyampaian projek yang disokong oleh kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA