Projek kereta api Thai-China hadapi rintangan

Projek kereta api Thai-China hadapi rintangan

BANGKOK, 7 Feb – Projek kereta api berkelajuan sederhana Thai-China menghadapi lebih banyak ketidaktentuan ketika Bangkok mahu Beijing memikul beban kewangan tambahan dalam projek berbilion ringgit itu agar ia lebih berdaya maju.

Timbalan Perdana Menteri, Somkid Jatusripitak berkata, Thailand meminta China memikul tanggungjawab untuk pembinaan awam serta kerja-kerja berkaitan dan bukan hanya menyediakan kereta api dan lokomotif.

“Belum ada keputusan lagi dan kami perlu terus berunding dengan China. Kami akan meneruskannya sehingga perjanjian dicapai. Ketika ini, ia hanya setakat perkara prinsip (untuk kedua-dua pihak meneruskan projek),” katanya dipetik sebagai berkata oleh media tempatan, di sini hari ini.

Menurutnya, projek itu bermanfaat kepada kedua-dua negara, oleh itu keuntungan tidak boleh menjadi satu-satunya faktor untuk pertimbangan.

Projek kereta api Thai-China dianggarkan menelan belanja Baht500 bilion (RM59 bilion) bagi menghubungkan Bangkok dan Nong Khai, dekat sempadan Laos dengan kereta api berkelajuan sederhana 160 hingga 180 kilometer sejam.

Kereta api itu kemudiannya akan disambung dengan satu lagi jalan kereta api 600 kilometer ke bandar raya Kunming di selatan China.

Projek kereta api itu dimulakan semasa pentadbiran Perdana Menteri Abhisit Vejajiva dan rundingan mengenainya akan memasuki pusingan ke-10 akhir bulan ini di China.

Menurut media tempatan, sebagai respons kepada permintaan Bangkok untuk pelaburan tambahan dalam projek kereta api berkenaan, Beijing telah mencadangkan laluan Nakhon Ratchasima-Nong Kai ditukar kepada trek tunggal, bukannya berkembar. – Bernama