Projek Kumpulan PGS1415 diumum juara Konvensyen KKC

Projek Kumpulan PGS1415 diumum juara Konvensyen KKC

Oleh Normazlina M.D & Sim Y.H

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Kumpulan PGS1415 dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dengan projeknya bertajuk ‘Penyemakan Data Mengambil Masa Yang Lama’ telah diumumkan juara Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) pada tahun ini sekali gus membawa pulang piala, sijil dan wang tunai $6,000.

Tempat kedua disandang oleh Kumpulan GBS dari Jabatan Ukur dengan projek bertajuk ‘Kesukaran Dalam Pengurusan Id Pengguna’ dan Kumpulan StarNet dari Jabatan Ukur dengan projek ‘Status Stesen-stesen Geodetik di Daerah Temburong Kurang Kemas Kini’ menduduki tempat ketiga.

Pemenang kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai $4,000 dan $2,000 di samping piala dan sijil penyertaan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang semasa Majlis Hari Perkhidmatan Awam 2015 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

Pada tahun ini, sebanyak 10 buah kumpulan telah menyertai KKC yang mewakili enam buah jabatan di bawah lima buah kementerian.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan hadiah kepada juara Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang, PGS1415 dari Bahagian Pemetaan GIS (Geographical Information System), Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan hadiah kepada juara Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang, PGS1415 dari Bahagian Pemetaan GIS (Geographical Information System), Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.

Majoriti projek yang diketengahkan adalah di bawah kategori pembaikan proses kerja dan peningkatan kualiti pemberian perkhidmatan kepada orang awam.

Kriteria penilaian projek KKC pada tahun ini telah dikemaskinikan dengan projek-projek yang dibentangkan dinilai dalam tiga peringkat iaitu peringkat penelitian pelaksanaan projek melalui laporan, peringkat pembentangan dan interaksi bersama panel bernilai secara tertutup serta peringkat tinjauan ke kementerian atau jabatan di mana projek tersebut dilaksanakan.

Di samping itu, kumpulan-kumpulan yang menyertai juga diberi kesempatan untuk membentangkan projek masing-masing secara pementasan dan lakonan semula, yang mana pendekatan ini merupakan salah satu inisiatif pemberigaan yang mudah diterima audiens dalam mengetengahkan kaedah KKC.

KKC menggalakkan kerja berkumpulan dan penglibatan semua pihak dalam organisasi yang mengamalkannya, yang mana penglibatan sungguh-sungguh pihak atasan akan dapat menjamin kejayaan KKC kerana ia boleh meyakinkan para ahli untuk melibatkan diri dengan penuh komitmen dan bertanggungjawab.

Dengan cara ini, ia boleh mewujudkan sebuah organisasi yang sentiasa beristiqamah kerana pengurusan atasan yang penuh yakin menurunkan kuasa dan tanggungjawab kepada pegawai yang bermotivasi tinggi ke arah menghasilkan kerja berkualiti tinggi.