Projek landasan kereta api catat kemajuan

Projek landasan kereta api catat kemajuan

BANGKOK, 2 Julai (Agensi) – China dan Thailand mencapai kemajuan konkrit dalam rundingan mereka mengenai pembinaan landasan kereta api di Thailand yang akan menghubungkan wilayah Nong Khai di timur laut dengan wilayah Bangkok dan Rayong di timur Teluk Thailand, menurut ketua perunding China, wang Xiaotao.

Wang berkata selepas mesyuarat kelima Jawatankuasa Bersama Mengenai Kerjasama Landasan Thailand dan China di sini semalam, bahawa kedua-dua belah pihak sudah mencapai persetujuan mengenai kajian kesesuaian, rangka pelaburan dan latihan kakitangan bagi projek berkenaan.

Wang menambah bahawa China menjalankan kajian kesesuaian mengenai projek itu, dan sudah menyiapkan reka bentuk laluannya manakala di pihak China pula sudah mengemukakan reka bentuk dan pelbagai cadangan kepada pihak Thailand.

Menurut perjanjian itu, China juga sudah menyediakan program menyeluruh bagi pusat kawalan dan rangkaian komunikasi gentian optik.Menteri Pengangkutan Thailand Prajin Juntong memberitahu para wartawan bahawa rundingan mencatatkan kemajuan konkrit dari segi laluan perjalanan dan kajian kesesuaian.

Mesyuarat pusingan akan datang akan diadakan di bandar Xi’an di barat laut China pada awal Ogos depan.

Thailand dan China memeterai memorandum persefahaman (MoU) tahun lepas mengenai pelaksanaan projek kereta api sederhana laju yang menghubungkan wilayah Nong Khai, Bangkok dan wilayah Rayong.

Adalah dijangka fasa pertama pembinaan membabitkan landasan sepanjang 867 kilometer akan bermula pada Oktober tahun ini.