Projek Lantera Bahtera, penghargaan kepada pengurus restoran

Projek Lantera Bahtera, penghargaan kepada pengurus restoran

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus melaksanakan pelbagai projek dan program dalam usaha memperkasa Bahasa Melayu demi menjaga kepentingan bahasa rasmi Negara Brunei Darussalam dengan harapan pendaulatan Bahasa Melayu itu akan terus didukung oleh semua pihak dengan penuh semangat khususnya oleh golongan belia yang menjadi tunggak ke arah pembangunan masa depan negara.

Salah satu projek yang dilaksanakan buat julung-julung kalinya ialah pengauditan menu-menu yang terdapat di restoran di keempat-empat daerah untuk diberi penghargaan yang dinamakan Lantera Bahtera kepada pengurus-pengurus restoran di Negara Brunei Darussalam.

Ini dinyatakan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Hajah Aminah binti Haji Momin semasa berucap pada Majlis Sambutan Bulan Bahasa 2015 yang berlangsung di Muzium Teknologi Melayu, Kota Batu, hari ini.

Perasmian sambutan disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Turut hadir ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Haji Mohd Yaakub bin Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Paduka Haji Zainal, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Haji Othman, perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta para jemputan.

Menurut Hajah Aminah, sebanyak 86 menu telah diaudit dan dinilai dalam pemilihan awal dan hanya lapan menu yang terpilih ke peringkat akhir.

“Menu-menu tersebut diaudit berpandukan kriteria yang telah ditetapkan iaitu menu yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam penyediaan menu-menu mereka.

“Penilaian dibuat berdasarkan kepada penggunaan Bahasa Melayu sepenuhnya atau dwi bahasa dengan terjemahan Bahasa Melayu, tidak mencampuradukkan Bahasa Melayu dengan bahasa lain dalam satu frasa dan penggunaan ejaan, struktur ayat yang betul.”

Pengauditan dan penilaian menu itu dilaksanakan bermatlamat untuk menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu yang baik dan betul dalam semua menu restoran secara meluas di Brunei, memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta memantau penggunaan dan keselarasan bahasa sepenuhnya termasuk ejaan dan sebutan.

Hajah Aminah menambah kata, hasil pengauditan itu didapati kebanyakan restoran tidak menggunakan ejaan yang betul, bercelaru dan bahasa yang campur aduk.

Dalam hubungan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka akan mengeluarkan sebuah buku kecil sebagai garis pandu penyediaan nama-nama menu yang betul untuk menjadi rujukan supaya pihak restoran memainkan peranan dalam memperkasa Bahasa Melayu khususnya kepada penduduk di negara ini dan juga pelancong.

“Sebelum ini, DBP telah menerbitkan dua buah buku kecil iaitu buku panduan para pelancong dan buku panduan doktor asing yang bertugas di negara ini khusus merujuk istilah perubatan tempatan.”

Di majlis berkenaan, Yang Berhormat Pehin Haji Hazair menyempurnakan pelancaran buku, Perkembangan dan Pencapaian 5 Tahun DBP dan pelancaran Prototaip Penerbitan Buku Digital, Nakhoda Manis.

Yang Berhormat Pehin juga menyampaikan pengiktirafan kepada empat penerima Anugerah Duta Bahasa 2015 iaitu Dayang Tan Been Tiem, Awang Mohd Zefri Ariff bin Zain Arif, Awang Fakrul Razi dan Awang Irwan Rino bin Nordin.

Pemberian Anugerah Duta Bahasa adalah sebagai penghargaan kepada sumbangan mereka dalam mempromosi, mengangkat, memartabat, mendaulat dan menyebarkan Bahasa Melayu melalui kegiatan masing-masing.

Yang Berhormat Pehin juga menyampaikan hadiah Anugerah Esei Ilmiah Pangsura, penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang dalam Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu Brunei-Cambridge GCE Peringkat O dan A kepada 87 orang penerima dan penyampaian sijil kepada tiga penerima Lantera Bahtera yang terdiri dari tiga buah restoran yang dipilih kerana menggunakan Bahasa Melayu dalam semua menu mereka.

Pelbagai kegiatan dan peraduan juga dilaksanakan bagi menyemarakkan sambutan bulan bahasa sepanjang 2015 hingga 2016 seperti Syarahan MABBIM ke-8, Sidang MASTERA ke-21, Peraduan Seni Khat Jawi Kebangsaan, Jerayawara Bahasa, Pertandingan Mencipta Logo Se-Borneo, Bengkel Menulis Cerpen Pertandingan Pidato dan Peraduan Mari Bercerita.

ARTIKEL YANG SAMA