Projek lapangan terbang Mukah bermula tahun ini

Projek lapangan terbang Mukah bermula tahun ini

MARUDI, 20 Jan – Projek pembinaan lapangan terbang baharu di Mukah seperti yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2016, dijangka bermula dalam tempoh terdekat.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Mohd Badlisham Ghazali berkata dalam pembentangan Bajet 2016, Lapangan Terbang Mukah bukan sahaja diperbaiki malah akan dibina baharu bagi menampung pesawat yang lebih besar iaitu jenis ATR.

Kerja-kerja perluasan lapangan terbang itu tertakluk kepada bajet serta pelan induk lapangan terbang, dengan kelulusan kerajaan pusat berdasarkan permintaan dan keperluan sesebuah tempat, katanya. “Kita sedia maklum Mukah sudah lama memerlukan lapangan terbang seperti itu, dan itulah keutamaan ketika ini.

“Pembinaan lapangan terbang baharu itu dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), dan perancangan akan bermula dalam tempoh terdekat, dengan pembinaan pertama akan bermula hujung tahun ini atau pun tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Padang Terbang Marudi, semalam.

Datuk Badlisham Ghazali (kanan) bertanyakan sesuatu kepada seorang petugas ketika meninjau kemu-dahan di menara kawalan trafik Lapangan Terbang Bario pada 19 Januari. - Bernama
Datuk Badlisham Ghazali (kanan) bertanyakan sesuatu kepada seorang petugas ketika meninjau kemu-dahan di menara kawalan trafik Lapangan Terbang Bario pada 19 Januari. – Bernama

Ditanya sama ada MAHB menjangkakan perancangan pembinaan lapangan terbang baharu itu akan terjejas susulan pengubahsuaian Bajet 2016, Badlisham berkata lapangan terbang baharu di Mukah sememangnya diperlukan. “Perkara ini dah lama, sebab itu bajet untuk pembinaan lapangan terbang ini kerajaan dah lulus, tetapi apa pun kita kena tunggu keputusan Perdana Menteri… namun saya harap lapangan terbang di Mukah ini akan diteruskan berdasarkan keperluannya,” katanya.

Mukah kini hanya mempunyai Padang Terbang (STOL – pelepasan dan pendaratan pendek) yang dibina untuk menampung keperluan penumpang di kawasan pedalaman.

Sementara itu, Badlisham berkata kerja menaik taraf Lapangan Terbang Miri dijangka siap bulan depan.

“Di Lapangan Terbang Miri ketika ini, kerja-kerja menaik taraf termasuk penambahan apron meletak pesawat serta menambah dua jalan rayap selari (taxiway).

“Insya-Allah kerja-kerja naik taraf ini akan siap pada Februari, dan apabila siap kelak, lapangan terbang ini boleh menampung lebih banyak pendaratan pesawat… kita boleh menerima lebih banyak pesawat yang bermakna lebih ramai penumpang di lapangan terbang tersebut,” katanya. – Bernama