Projek lebuh raya Pan Borneo hadapi halangan

Projek lebuh raya Pan Borneo hadapi halangan

SEMATAN, Sarawak, 5 Feb – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof membangkitkan kesukaran yang dihadapi dalam pembinaan atau menaik taraf projek berbilion ringgit, Lebuhraya Pan Borneo.

Beliau berkata penduduk yang mendakwa mempunyai hak tanah adat ke atas tanah yang diperuntukkan untuk sebahagian daripada projek lebuh raya itu, tidak mahu menyerahkan hartanah mereka.

“Kami bercakap terutamanya mengenai tanah yang tidak mempunyai hak milik yang penduduk ini dakwa sebagai hak tanah adat. Rekod yang terdapat di Jabatan Tanah dan Survei menyatakan sebaliknya. Tanah ini sebenarnya sama ada rizab jalan atau tanah kerajaan negeri,” katanya di sini malam tadi.

Fadillah berkata mereka sepatutnya membenarkan tanah itu digunakan untuk projek ‘yang sangat penting’ ini yang akan memberi manfaat kepada majoriti besar penduduk kerana menyimpan tanah tersebut untuk kegunaan mereka sendiri akan menjejaskan kejayaan untuk menyudahkan projek lebuh raya berkenaan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri taklimat yang diberikan oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak berhubung kemajuan keseluruhan projek lebuh raya bernilai RM16.5 bilion itu.

“Kami mempunyai peruntukan iaitu kami boleh membayar ex gratia kepada mereka. Tetapi kadang-kadang apabila kami bayar, mereka terima tetapi masih enggan berpindah. Ini adalah masalah besar bagi kami,” katanya.

Fadillah berkata semua pihak harus munasabah dan berusaha untuk mencapai penyelesaian bagi membolehkan projek itu tidak tertangguh.

Beliau berkata adalah lebih mudah untuk mendapatkan tanah yang memiliki geran tanah kerana berdasarkan undang-undang, pemiliknya akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian rasmi.

Beliau juga berkata cabaran lain adalah untuk mengalihkan kemudahan utiliti agar tidak mengganggu bekalan elektrik, telekomunikasi atau bekalan air untuk kegunaan orang awam.

“Pemindahan utiliti ini harus mengikut   jajaran dan penyusunan semula. Ia agak mahal dan perlu ketelitian. Kami memerlukan pakar untuk melakukannya. Kami bekerjasama dengan syarikat utiliti bagi memastikan ia dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Fadillah, yang juga Anggota Parlimen Petra Jaya, berkata di bawah penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada Sarawak, kerajaan negeri akan memainkan peranan utama dalam melaksana dan memantau pembinaan lebuh raya itu.

Juga terdapat banyak peluang bagi syarikat bumiputera Sarawak yang mempunyai nilai bersih sebanyak RM6 juta untuk menjalankan kerja-kerja seperti memasang papan tanda dan lain-lain lagi. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA